Anda di sini

Inflasi makanan meningkatkan perbelanjaan isi rumah

Advertisement
 Realiti Berbeza’ di Mercu UEM di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Research Institute Datuk Hisham Hamdan (empat kiri) dan Pemegang Amanah Khazanah Research Institute Dr Nungsari Ahmad Radhi (empat kanan). — Gambar Bernama
BUKU LAPORAN ISI RUMAH 2018: Shahril Ridza (tengah) ketika sesi bergambar semasa pelancaran penerbitan ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’ di Mercu UEM di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Research Institute Datuk Hisham Hamdan (empat kiri) dan Pemegang Amanah Khazanah Research Institute Dr Nungsari Ahmad Radhi (empat kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan didapati berbelanja lebih dalam perbelanjaan isi rumah pada 2016, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna mereka, demikian didedahkan dalam laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

KRI dalam laporannya mengenai ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’, yang dilancarkan semalam menyatakan bahawa purata perbelanjaan isi rumah pada 2016 adalah RM4,033, meningkat daripada RM1,161 pada 1993.

Dalam sorotannya terhadap isu berkenaan, laporan itu menyatakan bahawa pada 2016, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000 telah membelanjakan 94.8 peratus dari pendapatan mereka untuk barangan pengguna, meningkat dari 91.9 peratus dari pendapatan mereka pada 2014, manakala isi rumah yang berpendapatan atas RM15,000 sebulan hanya membelanjakan 45 peratus dari pendapatan mereka pada 2016, iaitu peningkatan dari 41 peratus daripada pendapatan mereka yang dibelanjakan pada 2014.

“Median pendapatan isi rumah pada 2016 ialah RM5,288, manakala kira-kira 67 peratus daripadanya dibelanjakan bagi perbelanjaan isi rumah, meningkat dari 65.1 peratus pada 2014,” kata laporan itu.

Ia menambah, ini bermakna lebihan pendapatan selepas ditolak perbelanjaan itu (baki pendapatan isi rumah), telah berkurangan bagi semua peringkat pendapatan.

Laporan itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Shahril Ridza Ridzuan, semalam.

“Apa yang membimbangkan ialah bagi isi rumah berpendapatan bawah RM2,000, pendapatan yang masih berbaki selepas mengambil kira inflasi hanyalah RM76 pada 2016, berkurangan daripada RM124 pada 2014. Ia berpotensi mendedahkan isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,000 kepada apa-apa kejutan ekonomi atau kecemasan.

“Antara tahun 2014 dan 2016, isi rumah dengan jumlah pendapatan bawah RM5,000 kurang berbelanja untuk makanan walaupun lebih banyak wang dikeluarkan bagi maksud itu disebabkan kadar inflasi harga makanan yang tinggi. Bagi isi rumah yang lebih berkemampuan, perubahannya adalah lebih kepada perubahan gaya hidup — daripada berbelanja untuk makan di rumah kepada berbelanja untuk makan di luar, dan untuk perkhidmatan hiburan dan kebudayaan,” katanya.

Ia juga menyatakan bahawa pendapatan isi rumah itu masih termasuk pendapatan yang perlu dibayar sebagai cukai dan skim-skim keselematan sosial yang wajib.

Laporan itu menyebut terdapat sejumlah 7.5 juta isi rumah di Malaysia pada 2016 di mana 6.9 juta daripada mereka diketuai warganegara Malaysia manakala yang lain adalah bukan warganegara.

Laporan itu juga menyebut pekerja yang menerima gaji, diikuti mereka yang bekerja sendiri adalah dua punca pendapatan penting ketua-ketua isi rumah, menyumbang 63 peratus dan 15.6 peratus masing-masing pada 2016, berbanding 66.6 peratus dan 17.2 peratus masing-masing pada 2012.

Sebaliknya, pendapatan isi rumah yang diperoleh daripada hasil pelaburan dan hartanah, dan pindahan semasa (pendapatan dari antuan kerajaan dan anggota keluarga) juga bertambah.

Pendapatan isi rumah dari hasil hartanah dan pelaburan menyumbang 12.9 peratus kepada pendapatan ketua isi rumah, berbanding 9.7 peratus pada 2012 manakala pindahan semasa meningkat ke 8.5 peratus pada 2016 dari 6.5 peratus pada 2012.

Laporan itu turut mendedahkan perbezaan pendapatan isi rumah antara daerah-daerah di negara ini, di mana jumlah pendapatan di kebanyakan daerah adalah lebih rendah daripada median kebangsaan iaitu RM5,228.

Isi rumah dalam bandar pula memperoleh pendapatan lebih 1.7 kali lebih tinggi daripada isi rumah di luar bandar pada 2016.

Isi rumah yang tinggal di kawasan-kawasan perbandaran dan daerah yang lebih pesat pembangunannya seperti Petaling yang terletak dalam kawasan luas Kuala Lumpur mempunyai median pendapatan isi rumah sebayak RM7,904, Timur Laut di Pulau Pinang (RM5,964) dan Johor Bahru (RM6,518).

Isi rumah yang tinggal di sekitar atau berhampiran Kuala Lumpur mempunyai purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,427, hampir dua kali lebih tinggi daripada pendapatan isi rumah di daerah lain di Malaysia.

Laporan itu juga menyebut bahawa perbezaan pendapatan isi rumah itu adalah berpunca daripada tiga faktor iaitu demografi, perbandaran dan pendidikan dan kemahiran.

“Satu dari punca kenapa tempat-tempat seperti Kuala Lumpur mempunyai pendapatan isi rumah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain adalah kerana kurangnya jumlah pesara atau kanak-kanak kecil berbanding orang dewasa dalam usia pekerjaan di negeri,” katanya.

Ia menambah, pendapatan isi rumah di bandar lazimnya lebih tinggi kerana kawasan bandar adalah lebih produktif dari segi ekonomi banding kawasan luar bandar dan mereka yang memiliki kemahiran yang tinggi dan berpendidikan tinggi juga sering dikaitkan dengan berpendapatan isi rumah yang lebih tinggi.

“Ketua isi rumah yang memiliki sekurang-kurangnya ijazah Sarjana Muda memperoleh pendapatan isi rumah 3.6 kali lebih tinggi daripada mereka yang tidak mempunyai apa-apa sijil. Ini adalah lebih 2.1 kali lebih tinggi daripada perbezaan antara pendapatan isi rumah bandar dan luar bandar,” tambah laporan itu.

Laporan itu turut memberi sorotan kepada perubahan trend dalam ketidakseimbangan dari segi pendapatan yang menurutnya semakin membaik secara berterusan dari tahun 1970 hingga 2016.

Ia juga menyebut jumlah median pendapatan isi rumah telah meningkat 6.4 kali ganda dari RM819 pada 1970 ke RM5,228 pada 2016.

“Hakikatnya ialah walaupun perangkaan menunjukkan bahawa ketidakseimbangan pendapatan telah dapat diperbaiki, namun jurang pendapatan mutlak antara kumpulan-kumpulan isi rumah dan bilangan isi rumah yang hidup dalam kemiskinan relatif, masih terus meningkat.

“Melangkah ke depan, usaha berterusan dalam hal ini adalah amat penting bukan sahaja kepada golongan penyelidik bahkan kepada pembuat dasar di Malaysia, untuk memperbaiki pemahaman kita terhadap isu-isu ekonomi yang mendesak itu dan perlunya mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya,” tambah laporan itu. — Bernama

Advertisement