Anda di sini

Denda RM8,000 memiliki keluaran tidak berdaftar, bernotifikasi

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang wanita pemilik premis kecantikan dikenakan denda sebanyak RM8,000, kerana memiliki keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Liu Shet Mui, 28, selepas mengaku bersalah untuk dua pertuduhan berkenaan.

Tertuduh disabitkan mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, atas kesalahan memiliki 12 jenis keluaran tidak berdaftar.

Sekali lagi tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 18 A (1)(a) peraturan sama, kerana memiliki satu jenis kosmetik tidak bernotifikasi.

Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 5 April jam 3.30 petang, di premis Beauty Wonderland Sdn Bhd, Centre Point, di sini.

Bagi setiap pertuduhan berkenaan, tertuduh dikenakan denda masing-masing RM5,000 dan RM3,000.

Mengikut fakta kes, sepasukan penguatkuasa farmasi melakukan pemeriksaan merampas 14 jenis keluaran dan kosmetik.

Siasatan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah mengesahkan terdapat 12 jenis keluaran tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seksyen Kosmetik Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesahkan satu kosmetik tidak bernotifikasi.

Ketika rayuan, Liu yang tidak diwakili peguam memohon denda yang rendah dikenakan terhadapnya.

"Saya hanya menyewakan ruang kepada para pelanggan. Saya tidak mengetahui mereka menjual produk berkenaan," katanya.

Pegawai Pendakwa Ong Chi San dari Jabatan Farmasi menegaskan, menjual produk yang tidak selamat memberikan risiko kepada orang awam, terutama kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

  • oleh
  • Advertisement