Anda di sini

Banjir kilat di selatan Perancis ragut lima nyawa

Advertisement
 Penduduk berdiri dekat kereta yang dihanyutkan oleh banjir kilat di selatan Perancis kelmarin. — Gambar AFP
AKIBAT BANJIR: Penduduk berdiri dekat kereta yang dihanyutkan oleh banjir kilat di selatan Perancis kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Sekurang-kurangnya lima orang maut dalam banjir kilat di barat daya kawasan Aude di Perancis selepas hujan yang bersamaan jumlah beberapa bulan telah turun dalam tempoh hanya beberapa jam semalaman, kata pengawas kerajaan tempatan semalam.

Beberapa helikopter penyelamat menunggu cuaca yang lebih baik sebelum mereka boleh melancarkan operasi menyelamat, pengawas Aude, Alain Thirion, memberitahu BFM TV.

“Kami mempunyai penduduk yang terkandas di atas bumbung rumah. Kami perlu menggunakan pesawat untuk memindahkan mereka kerana kami tidak boleh sampai kepada mereka dengan bot kerana air yang deras. Ia adalah sangat berbahaya,” jelas beliau.

Di antara kawasan yang teruk terjejas adalah perkampungan Conques-sur-Orbiel dan Villardonnel, di mana air naik setinggi tingkap pada tingkat pertama beberapa rumah.

Banjir kilat telah berlaku tanpa sebarang amaran. Sekurang-kurangnya seorang mangsa dihanyutkan oleh air yang mengalir dengan deras ketika sedang tidur, kata Thirion.

Paras air dijangka akan terus naik di kawasan tersebut semalam, dengan ramalan hujan sehingga lewat pagi. Beberapa sekolah di kawasan Aude ditutup dan penduduk telah diberitahu agar tidak keluar dari rumah.

Hujan lebat bukan luar biasa di Perancis pada waktu ini setiap tahun, namun ahli meteorologi menyatakan bahawa pemanasan air laut di sepanjang pantai Mediterranean di selatan Pe-rancis telah menambahkan kesan hujan.

Tahun ini merupakan yang paling panas di Pe-rancis sejak 1900, menurut perkhidmatan meteorologi negara. — Reuters

Advertisement