Anda di sini

Hasil kerajaan berkurang RM21 bilion pada 2018 berikutan pelaksanaan SST - Kementerian Kewangan

Advertisement
Grafik hiasan 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan berkata hasil kerajaan berkurang sebanyak RM21 billion bagi 2018 apabila ia melaksanakan kembali sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, anggaran kutipan SST bagi tahun ini untuk tempoh September sehingga Disember 2018 adalah sebanyak RM4 bilion.

“Oleh itu, kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi 2018,” katanya di sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan serta strategi kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut.

Beliau berkata, sebahagian daripada pengurangan kutipan GST tersebut akan diimbangi oleh tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkatan harga minyak mentah purata kepada US$70 setong (Brent) berbanding andaian US$52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

Selain itu, beliau berkata, terdapatnya tambahan dividen yang dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Bhd.

“Tambahan dividen ini adalah skali selaras dengan peningkatan harga minyak mentah dunia pada 2018 berbanding andaian yang digunakan dalam Bajet 2018,” kata Lim.

Meskipun harga minyak mentah dunia berada di sekitar US$70 setong, Lim berkata, peratusan hasil berkaitan petroleum kepada keluaran dalam negara kasar hanyalah di sekitar 3.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada 2009 di mana pada tahun tersebut harga minyak mentah dunia adalah US$62 setong.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum,” kata beliau.

Di samping itu, Lim berkata, antara langkah-langkah lain bagi meningkatkan hasil kerajaan persekutuan adalah menerusi aktiviti audit dan siasatan yang berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatkan pematuhan cukai dan mengurangkan jurang cukai.

Kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baharu, terutama daripada aktiviti transaksi atas talian dan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan impak yang minimum kepada pengurangan hasil namun menjana aktiviti ekonomi.

“Kerajaan turut melaksanakan langkah rasionalisasi perbelanjaan dengan menyusun semula keutamaan perbelanjaan serta mengkaji, menangguh dan merunding semula projek-projek berkos tinggi.

“Selain itu, kerajaan turut merasionalisasikan fungsi jabatan, program dan projek bagi mengelak pertindihan serta meningkatkan tadbir urus perolehan supaya lebih cekap dan telus,” kata Lim.

Lim berkata langkah ini dijangka memberi penjimatan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion.

Namun begitu, Lim berkata, kerajaan tetap komited terhadap manifesto Pakatan Harapan yang mana antara terasnya adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Dalam hal ini, harga petrol RON95 telah distabilkan pada RM2.20 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter di mana langkah ini akan memberi penjimatan kepada rakyat Malaysia dalam bentuk subsidi sebanyak RM3 bilion sehingga Disember tahun ini.

Di samping itu, beliau berkata, bantuan istimewa juga telah diberikan kepada setiap penjawat awam gred 41 dan ke bawah serta pesara jawatan awam yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM700 juta.

“Kerajaan akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh dalam mengimbangi kedudukan kewangan dan paras hutang,” katanya.

-- Bernama 

Advertisement