Anda di sini

Pencapaian sukar ditandingi

Advertisement
 Tun Taib (enam kiri) ditemani Ragad (tujuh kiri) sambil disaksikan oleh kenamaan lain memotong kek hari jadinya pada sambutan di Sibu, semalam.
DIRGAHAYU TUN: Tun Taib (enam kiri) ditemani Ragad (tujuh kiri) sambil disaksikan oleh kenamaan lain memotong kek hari jadinya pada sambutan di Sibu, semalam.

SIBU: Sumbangan dan pencapaian Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada Sarawak dan Malaysia sukar ditandingi oleh pemimpin-pemimpin lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Taib adalah tokoh kepimpinan yang telah menyaksikan Sarawak melalui pelbagai peristiwa sejak zaman British lagi.

“Beliau telah melihat Sarawak melalui liku-liku perjalanannya dari sebuah negeri yang serba kekurangan pada zaman British, kemudian diberi kuasa untuk mentadbir sendiri pada 22 Julai 1963, mencapai kemerdekaan dalam Malaysia, mengharungi konfrontasi dan kegiatan subversif komunis, menempuh era yang tidak menentu dalam kancah politik yang begitu hebat sebelum mencapai kestabilan selepas 1970 apabila kerajaan campuran Sarawak ditubuhkan.

“Mula memegang tampuk kepimpinan kerajaan Sarawak pada 1981 dan bertitik tolak daripada itu, Sarawak mula mengorak langkah untuk memodenkan ekonominya.

“Dengan usaha supaya ‘politicking’ antara kaum diminimumkan dengan konsep ‘Politik Pembangunan,’ Sarawak mula memberi tumpuan kepada program untuk melebarkan asas ekonominya supaya tidak terlalu bergantung kepada pengeksportan bahan mentah sahaja, tetapi memberi perhatian kepada usaha-usaha ke arah aktiviti pembuatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang Ke-82 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dataran Bandar Sibu, semalam.

Hadir sama Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, isteri Abang Johari Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh merangkap Menteri Bertanggungjawab sambutan tersebut serta menteri-menteri kabinet dan para kenamaan lain.

Abang Johari berkata, antara usaha Tun Taib sebelum menyerahkan tampuk pimpinan kerajaan negeri kepada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ialah merancang dan melaksanakan program untuk membangunkan kawasan tengah Sarawak dengan menubuhkan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang berpaksikan program perindustrian di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kita dan rakyat sekalian berdoa agar Tun Taib dan Toh Puan Ragad sentiasa diberkati dan dirgahayu serta terus menjadi lambang perpaduan dan penyatuan rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Ketua Menteri berkata, sambutan perayaan Hari Jadi TYT yang dimeriahkan dengan rapat raksasa dan pelbagai acara lain diraikan pada setiap tahun.

Jelasnya, sambutan sedemikian bukan sekadar sambutan semata-mata, tetapi merupakan suatu usaha untuk mengangkat kedudukan TYT sebagai sebuah institusi yang menjadi faktor penyatuan dan perpaduan rakyat Sarawak.

“Sebagai Ketua Menteri, saya amat berharap rakyat sekalian dapat menghayati makna yang begitu mendalam ketika kita merayakan sambutan Hari Jadi TYT setiap tahun dan tidak melihatnya sebagai sekadar satu perayaan sahaja,” tegasnya.

Menyentuh lanjut mengenai sumbangan dan perubahan yang dibawa Tun Taib, Abang Johari memberitahu, tidak boleh dinafikan bahawa beliau telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Sarawak sebagai ekonomi moden.

“Pelaksanaan SCORE telah mengubah pembangunan di Bintulu dan Mukah. Mukah dari sebuah bandar sepi telah menjadi sebuah bandar yang bertenaga, manakala Bintulu dengan pembangunan bandar satelit Samalaju telah menjadi hab industri dan pembuatan untuk Sarawak.

“Ini menyebabkan beribu-ribu rakyat telah berhijrah ke Bintulu untuk mencari pekerjaan atau menjalankan perniagaan di sana.

“Beliau telah meletakkan asas yang kukuh untuk Sarawak sebagai industri dengan pelaksanaan SCORE yang telah menarik sejumlah besar pelaburan langsung asing dan pelaburan swasta ke negeri ini terutamanya dalam industri berat berjumlah RM33.6 bilion setakat ini dan mewujudkan 17,000 peluang pekerjaan untuk rakyat,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement