Anda di sini

Pan Borneo kekal lebuh raya tanpa tol - Baru Bian 

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan kekal sebagai lebuh raya tanpa tol, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar).

Beliau berkata sebaik mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang niat untuk mengenakan kutipan tol bagi Lebuh Raya Pan Borneo.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol. Ini janji kami (kerajaan Persekutuan),” katanya dalam sidang media berhubung kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa pembinaan lebuh raya tanpa tol tidak dapat diwujudkan.

Berita berkaitan: Lebuh raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan - Dr M

Baru berkata kenyataan perdana menteri itu adalah merujuk kepada lebuh raya di Semenanjung, dan menurutnya, model pembangunan serta pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo adalah berbeza dengan lebuh raya di Semenanjung.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak sekali gus memastikan lebuh raya itu dapat disiapkan mengikut masa dijanjikan demi keselesaan rakyat di negeri berkenaan.

Di Sabah, Baru berkata, sebanyak 12 daripada 35 pakej dalam fasa pertama lebuh raya itu telah dimulakan dan baki pakej akan dibina secara berperingkat mengikut kedudukan kewangan negara.

Justeru, katanya kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menilai semula kos keseluruhan pembinaan lebuh raya berkenaan, namun, perbincangan itu tidak melibatkan perubahan jajaran Pan Borneo.

“Proses pengambilan tanah menjadi antara punca berlaku kelewatan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, dan kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

-- Bernama 


 

Advertisement