Anda di sini

Kerajaan timbang tawaran Melaka jadi hab pengeluaran kereta nasional yang baharu

 Mohd Redzuan (dua kanan) melihat Darjah Gemilang Seri Melaka yang diterima oleh Saifuddin selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Ulang Tahun Yang di-Pertua ke-80 di Seri Negeri Ayer Keroh. — Gambar Bernama
TAHNIAH: Mohd Redzuan (dua kanan) melihat Darjah Gemilang Seri Melaka yang diterima oleh Saifuddin selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Ulang Tahun Yang di-Pertua ke-80 di Seri Negeri Ayer Keroh. — Gambar Bernama

MELAKA: Kerajaan akan menimbang tawaran Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi hab pengeluaran kereta nasional baharu negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Mohd Redzuan berkata tempat yang dipilih nanti perlulah konduktif, infrasuktur yang cukup dan mempunyai bilangan usahawan yang ramai.

“Jika di Melaka, saya fikir Alor Gajah adalah antara tempat yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2018 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu adalah antara lima menteri kabinet yang penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka pada sesi pertama istiadat penganugerahan semalam sempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Beliau antara lima menteri kabinet yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri, selain Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkeply Ahmad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof.

“Sekiranya ramai usahawan Melaka mahu membangun bersama, maka ia mungkin akan menjadi antara tempat yang kita galakan…namun ini bergantung kepada pelabur itu sendiri untuk membuat keputusaan dan kita tidak boleh memaksa,” katanya.

Mohd Redzuan berkata secara peribadi beliau menyokong cadangan kerajaan negeri Melaka itu memandangkan terdapat Composites Technology Research Malaysia (CTRM), sebuah syarikat penyelidikan komposit dan aeroangkasa, di negeri ini.

“Kereta nasional baharu akan menggunakan lebih kepada komponen daripada bahan dan teknologi canggih, sesuai dengan kemudahan yang terdapat di Melaka,” katanya.

Terdahulu dalam istiadat sama, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu pemberita kerajaan negeri Melaka menawarkan Melaka sebagai Hab Kereta Nasional Baharu Negara dan bersedia untuk memberikan kerjasama yang baik jika ia dipersetujui. — Bernama