Anda di sini

Esscom tahan 33 PTI tanpa dokumen, passport tamat tempoh

Advertisement
ANTARA yang ditahan pada operasi itu.
ANTARA yang ditahan pada operasi itu.

LAHAD DATU: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PTI) ditahan dalam satu operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di empat lokasi berasingan di daerah ini, pada Jumaat.

Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata operasi yang bermula dari jam 8.00 malam hingga 5.00 pagi itu disertai kira-kira 65 anggota penguatkuasa.

Tumpuan operasi di kawasan ladang dan penempatan haram yang disyaki menjadi tempat persembunyian PTI antaranya di Kampung (Kg) Membantu, Kg. Manar dan Kg. Perpaduan (Bagahak) di daerah kecil Tungku dan kawasan bandar Lahad Datu.

Beliau berkata seramai 158 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 33 orang disyaki PTI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan serta mempunyai passport yang tamat tempoh.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 30 warga Filipina dan tiga warga Indonesia berumur dalam lingkungan 10 hingga 50 tahun.

"Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta memiliki passport atau dokumen yang telah tamat tempoh.

"Kes akan disiasat di bawa Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/61 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 (pindaan 2002).

"Kesemua tahanan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin (PPM) untuk tapisan keselamatan sebelum dibawa ke Pusat Tahanan sementara (PTS) Tawau untuk proses penghantaran ke negara asal mereka," katanya.

Hazani berkata Esscom akan meneruskan operasi ini dalam usaha untuk mengurang kehadiran PTI di daerah ini yang disyaki menjadi dalang di sebalik aktiviti penyeludupan barang-barang bersubsidi dan terlarang seperti minyak petrol, rokok seludup dan dadah jenis syabu.

"Operasi Bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan sedikit penambahbaikkan bagi mengurang dominasi PTI di kawasan-kawasan tertentu seperti di ladang-ladang dan kawasan tumpuan utama seperti bandar dan pasar awam yang dilihat banyak terlibat dalam aktiviti penyeludupan seperti menjual dan mengedar rokok seludup, petrol dan dadah jenis syabu," katanya.

Hazani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang terlibat bagi menjayakan operasi ini sehingga dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bagi menjayakan operasi ini yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kebajikan dan Angkatan Tentera Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement