Anda di sini

Pengedaran borang permohonan IMM13 di luar pengetahuan kerajaan negeri

Advertisement
SHAFIE (lima kanan) menerima cendera kenangan daripada Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika dipersidangan itu.
SHAFIE (lima kanan) menerima cendera kenangan daripada Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika dipersidangan itu.

KOTA KINABALU: Tindakan Pejabat Unit Khas Imigresen yang mengedarkan borang permohonan Dokumen Orang Asing Khas (IMM13) baru-baru ini tidak dimaklumkan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu dilakukan di luar pengetahuan kerajaan dan ianya tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri (MKN) yang dipengerusinya baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat itu, kita tidak sentuh pun mengenai perkara ini, kita hanya bincang mengenai cara meningkatkan kapasiti menjaga keselamatan sempadan negara khususnya di perairan negeri ini.

"Saya terkejut dengan berita ini ketika saya di Kuching...kemudian saya arahkan supaya perkara ini dihentikan serta-merta kerana ia tidak diketahui kita tapi ianya di bawah kuasa Kerajaan Pusat.

"Inilah antara isu yang kita perlu utarakan dan memastikan ia dapat diatasi," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Perwakilan Tritahunan Upko ke-15, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong menerusi laman facebooknya yang menyatakan tindakan itu dilakukan oleh golongan 'little Napoleons' yang sengaja ingin sabotaj sistem Kerajaan Baharu dan Kabinet Sabah.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak dapat jelaskan perkara itu dengan lebih lanjut kerana ia terletak dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, sekiranya ia membabitkan anak-anak Sabah yang mana salah seorang ibubapanya adalah warga negara Malaysia maka itu adalah isu berlainan.

"Kalau perkara itu membabitkan Pendatang Tanpa Izin (PTI), kita tidak akan layan...ini adalah amalan sepatutnya dijadikan contoh oleh pihak jabatan kerana inilah suara yang kita utarakan.

"Kadang-kadang kita berhadapan dengan masalah di mana terdapat anak-anak seperti di Keningau hari itu...wanita Dusun mempunyai lima anak tetapi anaknya tiada dokumen.

"Untuk IMM13...saya tidak arif dalam perkara ini tetapi kita harus atasinya dengan baik," katanya.

Menurutnya, perkara yang penting adalah untuk menyiasat bagaimana perkara itu boleh terjadi, kemudian utarakan kepada pihak berwajib di peringkat persekutuan.

Katanya, perkara itu boleh dibawa bincang dalam Kabinet tetapi sekiranya pihak berwajib di jabatan peringkat Pusat mengambil tindakan seumpamanya, maka ia akan membantutkan usaha kerajaan negeri.

"Dalam MKN saya sudah suarakan berkali-kali bahawa Rumah Merah itu ditiadakan kerana ia melibatkan perbelanjaan puluhan juta ringgit, buat apa perlu berbelanja banyak untuk warga asing dan mereka perlu dihantar pulang.

"Tetapi kalau ia membabitkan anak daripada salah seorang ibubapa warga negara ini, maka ianya kes berlainan dan pendekatan lain perlu diambil bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pemberian Kad Pengenalan kepada rakyat Sabah perlu dipusatkan di negeri ini.

Katanya, hanya orang Sabah sahaja tahu siapa warga negara di negeri ini dan boleh merujuk kepada ketua kampung mengenai perkara itu.

"Terdapat permohonan dihantar ke Kuala Lumpur dan saya tidak fikir pegawai di sana tahu siapa pemohon itu.

"Oleh itu adalah lebih baik perkara itu dipusatkan di negeri ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement