Anda di sini

Dua kes pecah rumah di kuarters kerajaan selesai

Advertisement
FIRDAUS (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dalam tangkapan itu.
FIRDAUS (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dalam tangkapan itu.

KOTA KINABALU: Dua kes pecah rumah di kuaters Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar Kudat berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya dua dalang jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, kedua-dua suspek itu masing-masing berumur 35 dan 40 tahun itu ditangkap di kediaman Perumahan Klinik Kesihatan Kudat.

"Pada 7 September lalu, seorang pengadu telah membuat laporan polis pada jam kira-kira 10.26 pagi yang mengatakan ketika balik ke kuaters Pejabat Kesihatan Kudat mendapati pintu rumah telah terbuka dan barang-barang seperti tong gas, televisyen, tabung lima unit, peti duit, dua telefon pintar, peranti cakera keras 1TB dan wayar elektrik hilang dipercayai dicuri.

"Selain itu, polis juga telah menerima aduan daripada kakitangan jabatan veterinar Kudat pada 3 Oktober lalu berhubung dengan kes pecah rumah.

"Pengadu itu turut kehilangan sebuah televisyen, satu tong gas dan tabung siling," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, polis berjaya menangkap dua suspek yang tinggal di kuarters Klinik Kesihatan Jalan Bawah Kudat.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dan telah menunjukkan tempat barang kes dijual. Kedua-dua suspek ditangkap pada 11 Oktober lalu.

"Tangkapan dan rampasan barangan kes dibawa balik ke Balai Polis Kudat dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah waktu malam.

"Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh ditangkap. Ujian saringan awam air kencing kedua-dua suspek juga mendapati positif methamphetamine dan amphetamine dan sedang disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1953," katanya.

  • oleh
  • Advertisement