Anda di sini

Tiada sistem pengairan punca Maahad Al-Abbasiah sungkai banjir

Advertisement
 Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertungkus lumus membersih pekarangan asrama lelaki yang menempatkan 100 pelajar di Maahad Al-Abbasiah semalam. — Gambar Bernama
PEMBERSIHAN: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertungkus lumus membersih pekarangan asrama lelaki yang menempatkan 100 pelajar di Maahad Al-Abbasiah semalam. — Gambar Bernama

SUNGKAI: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah membina sistem saliran longkang yang  baik di sekitar asrama sekolah Maahad Al-Abbasiah di sini dengan segera bagi mengelak kejadian banjir kilat di kawasan itu akibat limpahan dari lombong berhampiran kelmarin, berulang.

Arahan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak A.Sivanesan Perak yang turun padang hari ini bagi melihat keadaan sekolah berkenaan, dan kawasan persekitarannya yang turut digenangi air semalam.

Selain kawasan asrama sekolah itu ditenggelami pasir lombong setinggi 0.3 meter, limpahan air deras yang membawa pasir turut mengakibatkan  jalan raya utama Sungkai-Bidor berhampiran dinaiki air, dan ketiadaan sistem pengairan yang baik dikenal pasti antara puncanya.

“Kita lihat masalah ini disebabkan ketiadaan saliran atau longkang yang baik. Jadi bila air takungan melimpah, air itu akan turun ke kawasan yang menempatkan tiga blok asrama lelaki Maahad itu serta ke jalan raya berhampiran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sesi lawatan kerjanya ke kawasan berkenaan.

“JKR dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah membuat penilaian dan mendapati kira-kira 200 meter longkang perlu dibina dari kawasan takungan air ke sekolah sini dan 300 meter longkang lagi perlu dibina di jalan utama,” katanya dan menambah, beliau akan membawa isu itu ke majlis mesyuarat kerajaan negeri hari ini (semalam) untuk mendapatkan peruntukan khas bagi menangani permasalahan itu.

Banjir kilat di sekolah itu sekitar 5.30 petang kelmarin menyebabkan 100 pelajar lelaki dipindahkan ke tempat selamat selepas asrama mereka dinaiki air, dan ia dikatakan berlaku selepas benteng tambahan yang dibina di belakang bangunan sekolah itu runtuh.

Sementara itu pengetua sekolah maahad berkenaaan Adammee Kassim berkata, ini merupakan kali ketiga sekolah itu dilanda kejadian banjir kilat yang buruk, selepas kejadian pada tahun 2000 dan 2002.

“Kita bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada pelajar. Ketika kejadian berlaku, kesemua pelajar lelaki baru sahaja selesai solat asar. Sekarang ini pelajar lelaki ditempatkan di dewan sekolah dan sesi pembelajaran ditangguhkan sementara bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Kira-kira 40 anggota termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bidor serta sukarelawan membantu operasi pembersihan maahad itu.

Sehubungan itu, Adammee berharap segala bentuk bantuan dapat disegerakan memandangkan pelajar tingkatan dua dan empat akan menghadapi peperiksaan Sijil Syahadah I’dadi dan Thanawi bermula 22 hingga 25 Okt ini manakala pelajar tingkatan lima akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 13 Nov ini.

Orang ramai yang ingin menyalur bantuan wang boleh menghubungi Adammee dengan menelefon 016-4411096 atau terus menyumbang kepada akaun Maahad Al-Abbasiah Sungkai 25807510300735 (RHB Bank). — Bernama

Advertisement