Anda di sini

Tiada kawasan dilanda banjir di Klang akibat fenomena air pasang

 Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Klang memantau keadaan air laut di jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Nelayan Telok Gong semalam. — Gambar Bernama
MEMBIMBANGKAN: Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Klang memantau keadaan air laut di jeti nelayan berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Nelayan Telok Gong semalam. — Gambar Bernama

KLANG: Fenomena air pasang besar yang berlaku awal semalam tidak menyebabkan banjir di daerah ini  mahupun menjejaskan kawasan pantai di Selangor.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata bagaimanapun hujan lebat kelmarin menyebabkan kejadian banjir kilat di Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan dan Kampung Delek Baru yang turut menyaksikan 11 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Telok Pulai, Klang.

“Benteng kepada pesisir pantai kukuh dan berada dalam keadaan  baik  selain  tiada rebakan  berskala  besar di daerah Klang.

“Fenomena air pasang hari ini (semalam) tidak mengakibatkan sebarang kawasan dilanda banjir di Klang setakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Sungai keramat, di sini semalam.

Beliau berkata kemuncak air pasang di pesisiran pantai negeri Selangor setinggi 5.6 meter dicatatkan pada 6.39 pagi tadi (semalam) namun ketinggian ban pada enam meter menghalang limpahan air tersebut.

“Kita jangka paras air turun kepada 5.2 meter pada 6.57 petang nanti,” katanya.

Samsol Maarif juga berkata, kincir air di Jeti Sungai Keramat di Kampung Batu 4, Klang mampu menahan air laut daripada melimpahi kampung berhampiran.

Sebanyak 10 lokasi dikenal pasti berisiko dilanda banjir akibat fenomena  air pasang besar di Klang bermula dari sempadan Kuala Selangor hingga ke sempadan Kuala Langat iaitu Pangkalan Tok Muda, ban Sementa, ban Sungai Keramat Batu 5, Kapar; Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Jeti Nelayan Kampung Perepat, Pulau Ketam, Telok Gong dan ban Sungai Serdang.

Sementara itu, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam keadaan persediaan peringkat tinggi kerana berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Smart Selangor Command Centre dalam satu kenyataan, berkata sehingga 2 pagi semalam, sebanyak 17 keluarga merangkumi 59 mangsa ribut dan banjir kilat di Klang, Hulu Langat dan Kuala Langat dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara. — Bernama