Anda di sini

Tempat berteduh musnah

 Anggota bomba berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan rumah dua tingkat di Kampung Batu Mulung, Lawas Damit petang semalam.
RANAP: Anggota bomba berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan rumah dua tingkat di Kampung Batu Mulung, Lawas Damit petang semalam.

LAWAS: Sebuah keluarga hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Mulung, Lawas Damit di sini, petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, Kasing Baru, 55, bersama dua anak perempuan berusia 15 dan 12 tahun serta cucu perempuan yang baharu berusia tiga tahun sedang berehat di tingkat bawah rumah dua tingkat itu, manakala suaminya tiada di rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Zaki Hudin berkata, kejadian itu disedari Kasing yang terdengar bunyi letupan kecil di ruang tamu tingkat atas rumah sebelum api merebak pantas di bahagian siling.

“Mangsa bergegas keluar membawa anak dan cucu meninggalkan tempat kejadian untuk menyelamatkan diri,” ujarnya.

Zaki berkata, penduduk kampung segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Seramai sepuluh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Mohamad Mafri Abdul Latip bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 2.26 petang,” katanya.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

“Api terkawal pada jam 3.34 petang dan berjaya dipadam sepenuhnya jam 4 petang,” katanya sambil menambah, tiada mangsa yang cedera dalam insiden itu.

Selain bomba, turut berada di lokasi ialah anggota polis dan kakitangan SESCO.

Di Bintulu, tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan sebuah rumah kedai daripada musnah selepas sebuah bilik di tingkat atas bangunan itu terbakar dalam kejadian di Jalan Pangeran Abu Bakar pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu TPgB Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 pagi dan mengerahkan sebuah jentera FRT bersama tujuh anggota diketuai PBK II Mustapha Wasli ke tempat kejadian.

“Kebakaran memusnahkan 15 peratus ruang bilik yang dijadikan rumah sewa di tingkat atas rumah kedai tersebut yang menempatkan perkakas bilik tidur dan peralatan dapur,” ujarnya.