Anda di sini

Sukan kurang menyerlah distruktur semula

Advertisement
 Snowdan (kanan) semasa mempengerusikan mesyuarat ‘post mortem’ skuad SUKMA Sarawak di Stadium Sarawak, Petra Jaya kelmarin.
PASCA NILAI: Snowdan (kanan) semasa mempengerusikan mesyuarat ‘post mortem’ skuad SUKMA Sarawak di Stadium Sarawak, Petra Jaya kelmarin.

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) akan melakukan penstrukturan semula terhadap beberapa acara sukan yang kurang menyerlah pada SUKMA XIX Perak 2018 yang berakhir baru-baru ini.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan semasa mempengerusikan mesyuarat fasa pertama ‘post mortem’ skuad SUKMA Sarawak di Stadium Sarawak, Petra Jaya kelmarin.

Mesyuarat turut dihadiri Pengarah MSNS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee dan Penolong-Penolong Ketua Kontinjen (ACDM).

“Penstrukturan ini akan melibatkan beberapa aspek seperti pertukaran jurulatih, bahagian teknikal, program latihan dan sukan.

“Persatuan perlu bersedia untuk penstrukturan tersebut kerana ia perlu dilaksanakan untuk kebaikan bersama demi menaikkan semula sukan-sukan yang kurang menyerlah,” katanya semalam.

Menurutnya, penstrukturan itu juga melibatkan sukan-sukan yang cemerlang namun ia atas permintaan persatuan sendiri.

Menjelas lanjut, Snowdan berkata ‘post mortem’ tersebut bertujuan mengumpul maklumat daripada 29 acara sukan yang terbabit pada SUKMA lepas untuk menilai kelemahan dan kekuatan mereka bagi membolehkan MSNS merangka pelan.

Katanya, data daripada ‘post mortem’ tersebut akan dibentangkan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada fasa kedua mesyuarat sama dalam masa terdekat.

Mengenai kempen Sarawak pada SUKMA Perak, Snowdan yang juga Ketua Kontinjen tetap berpuas hati dengan prestasi kontinjen negeri merangkul 42 pingat emas, 36 perak dan 60 gangsa untuk menduduki tempat keempat secara keseluruhan.

Tegasnya, saingan pada SUKMA kali ini cukup sengit di mana beberapa negeri turut menampakkan kebangkitan dengan memenangi emas.

“Walaupun sedikit kecewa kerana kita gagal dalam pemburuan gelaran juara, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian atlet Sarawak kali ini.

“Jika dahulu, SUKMA hanya didominasi beberapa negeri sahaja. Ia berbeza kali ini di mana banyak negeri lain yang semakin meningkat dan kesemuanya ada memenangi emas.

“Negeri-negeri lain juga banyak melahirkan juara baharu tanpa diduga memperlihatkan betapa sengitnya saingan SUKMA kali ini,” katanya lagi.

ADUN Balai Ringin itu berkata tambahan lima acara sukan pada SUKMA Perak juga memberi peluang kepada negeri-negeri yang sebelumnya kurang menyerlah berjaya memenangi pingat emas.

“Saya tetap bangga dengan prestasi atlet kita terutama mereka yang berjaya menyumbang pingat.

“Mereka telah berusaha berlatih dengan begitu gigih selama berbulan untuk menghadapi SUKMA kali ini,” tambah beliau lagi.

  • oleh
  • Advertisement