Anda di sini

Serangan 2004: Ketua pembangkang Bangladesh dipenjara seumur hidup

 Tertuduh kelihatan di dalam sebuah van penjara di luar mahkamah selepas keputusan diumumkan bagi kes serangan bom tangan pada 21 Ogos 2004 di Dhaka, Bangladesh, semalam. — Gambar Reuters
HUKUMAN SETIMPAL: Tertuduh kelihatan di dalam sebuah van penjara di luar mahkamah selepas keputusan diumumkan bagi kes serangan bom tangan pada 21 Ogos 2004 di Dhaka, Bangladesh, semalam. — Gambar Reuters

DHAKA: Mahkamah di Bangladesh semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang ketua pembangkang terkemuka selain mengenakan hukuman mati ke atas 19 tertuduh lain berhubung satu serangan bom tangan pada 2004 ke atas perdana menteri sekarang.

“Alhamdulillah bagi keputusan itu,” kata pendakwa raya Mosharraf Hossain kepada pemberita selepas meng-umumkan Tarique Rahman, pemangku ketua parti pembangkang utama di negara itu yang hidup dalam buangan sendiri, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

“Kami sebelum ini berharap Tarique Rahman menerima hukuman mati,” katanya, dan menambah mahkamah mendapati Rahman memainkan peranan penting dalam serangan itu.

Rahman, anak bekas perdana menteri Khaleda Zia, merupakan antara 49 orang yang dibicara berhubung serangan bom tangan pada 2004 yang mencederakan Sheikh Hasina dan mengorbankan 20 orang.

Pendakwa raya mendakwa Rahman dengan konspirasi jenayah dan beberapa tuduhan membunuh berhubung serangan itu, yang berlaku ketika Zia – seorang bekas sekutu yang menjadi musuh utama Hasina – menjadi perdana menteri.

Rahman, 50, dibicara tanpa kehadirannya (in absentia) selepas dia meninggalkan negara itu dan pergi ke London pada 2008.

Dia kini mengetuai pembangkang utama Parti Nasio-nalis Bangladesh (BNP) dari kehidupan buangan selepas Zia dipenjara pada Februari lalu selama lima tahun.

Kawalan keselamatan ketat dengan polis dan pasukan elit Batalion Gerakan Pantas di luar mahkamah dan tempat penting lain di ibu negara.

“Tiada reaksi segera ditunjukkan oleh BNP, tetapi kepimpinan parti sebelum ini mengecam kes itu, dengan menyatakan ia bermotifkan politik dan direka untuk menghalang ketuanya daripada menyertai pilihan raya akan datang, yang dijangka diadakan pada hujung Di-sember. — AFP