Anda di sini

Saya tidak perlukan lilitan kapten untuk jadi pemimpin: Pogba

Advertisement
POGBA
POGBA

CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES, Perancis: Pemain tengah antarabangsa Perancis dan kelab Manchester United, Paul Pogba, memberitahu penyiaran AFP dalam satu temu bual di mana rakan-rakan antarabangsanya memberikan beliau kebebasan untuk meluahkan dirinya dan menjadi pemimpin pasukan.

Pogba berdepan kritikan kerana gagal mengulangi prestasi memberangsangkan di Piala Dunia 2018 untuk United, yang mengharungi prestasi buruk di awal musim.

Isu perhubungan dingin Pogba dengan pengurus United, Jose Mourinho, tidak ditanya secara rasmi dalam temu bual di pusat latihan Perancis di sini.

Permulaan hambar United dalam Liga Perdana Inggeris kelihatan jauh dari kegemilangan Perancis ketika muncul juara Piala Dunia 0218 di Rusia, dengan Pogba berasa gembira mengimbau kata-kata rakan sepasukan antarabangsanya, Adil Rami yang menggambarkannya sebagai “pemimpin sebenar” di Piala Dunia.

“Saya benar-benar gembira mendengar kata-kata Adil itu,” kata Pogba. “Saya tidak akan berkata ia adalah saya, ia adalah skuad yang meletakkan saya di kedudukan itu, yang memberikan saya kebebasan bersuara. Mereka juga memberikan saya keyakinan.

“Saya tidak dapat melakukannya tanpa mereka. Semuanya bermula seperti itu, dari kem latihan. Saya bercakap dengan Hugo (Lloris) Blaise (Matuidi), (Raphael) Varane, untuk berkata bahawa Piala Dunia ini, kami benar-benar melakukan segala-galanya untuk menang. Saya benar-benar bersemangat.”

Pogba membuat penampilan sulung bersama Perancis pada 2013 dan sudah bermain sebanyak 62 kali selain beraksi di tiga kejohanan besar.

“Pada usia 25 tahun, saya di antara dua set pemain, yang paling muda dan paling tua. Ia membolehkan saya menyampaikan pesanan dan mempunyai peluang untuk didengar,” katanya.

Perancis akan menentang Iceland di Guingamp pada perlawanan persahabatan hari ini dan menyambung aksi Liga Negara UEFA (UNL) menentang Jerman pada 16 Oktober, selepas seri tanpa jaringan di Munich bulan lepas.

Walaupun mengambil tugas kepimpinan di Piala Dunia, perbalahan di antara Pogba dan Mourinho menyaksikan beliau digugurkan sebagai naib kapten United bulan lepas.

Beliau berkata menjadi kapten Perancis bukan salah satu sasarannya.

“Saya tidak pernah bermain dalam skuad Perancis untuk menjadi kapten, berada dalam skuad Perancis sudah sesuatu yang hebat bagi saya,” katanya.

“Anda tidak perlu menjadi kapten untuk bersuara, seorang pemimpin bukan seseorang memiliki lilitan (kapten) lengan. Sebagai pemimpin, anda boleh bercakap dalam padang tetapi saya sudah melihat pemimpin yang tidak semestinya bercakap.”

Beliau merujuk kepada bekas pemain tengah Itali, Andrea Pirlo sebagai seseorang yang boleh diharapkan untuk “menunjukkan cara bermain dalam padang”. — AFP

Advertisement