Anda di sini

Sabah tingkat kerjasama dengan Sarawak majukan bidang automotif

SHAFIE (kanan) menyampaikan Anugerah Pingat Emas kepada Poom yang diiringi ibunya pada majlis itu.
SHAFIE (dua kanan) menyampaikan Anugerah Pingat Emas kepada Poom pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meningkatkan kerjasama dengan negeri Sarawak dalam bidang automotif ke arah menjadikan Sabah sebagai negeri perindustrian.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bidang automotif mempunyai potensi penting dalam pasaran.

Pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak untuk menghasilkan gabungan perindustrian yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negeri.

Menurutnya, bidang automotif adalah penting dan mempunyai pasaran khususnya dalam pengeluaran produk.

"Bukan itu sahaja, melalui permintaan yang mencukupi, kita yakin dapat membangunkan industri ini.

"Kita mahu produk yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai harga yang berpatutan malah bernilai tinggi dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) Ke-23, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shafie berkata kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelajaran dan Inovasi mahu mewujudkan lebih banyak kolej teknikal di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, matlamat itu banyak bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

Justeru, pihaknya terus memperkasakan bidang perindustrian di negeri ini bagi memastikan lebih banyak tenaja kerja mahir dapat dihasilkan nanti.

Beliau yakin setiap usaha yang dilaksanakan kerajaan dapat melahirkan lebih ramai graduan bidang kemahiran.

Pada majlis itu, graduan Diploma Teknologi Automotif Poom Ming Wei, 22, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91.

Beliau turut menerima Anugerah Ketua Eksekutif selepas memperolehi mata tertinggi dalam keseluruhan penilaian termasuk pencapaian akademik, sukan, sosial dan komuniti sepanjang pengajiannya.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah KKYS Sdn Bhd Datuk Kamal DE Quadra dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria.