Anda di sini

Sabah Sarawak sependapat dalam isu MA63 

Advertisement
Abang Johari (kiri) dan Shafie mengadakan sidang media bersama di selepas pertemuan hari ini.
Abang Johari (kiri) dan Shafie mengadakan sidang media bersama selepas pertemuan hari ini.

KUCHING: Sarawak dan Sabah sependapat dalam perjuangan untuk memulihkan status serta mengembalikan hak kedua-dua negeri ini dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media bersama hari ini. 

Terdahulu Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Shafie di pejabatnya di Aras 5, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Baharu di sini sempena lawatan rasmi pertamanya ke Sarawak. 

Menurut Abang Johari, meskipun isu mengenai MA63 tidak dibincangkan secara terperinci dalam pertemuan mereka hari ini namun Sabah dan Sarawak katanya sependapat dalam perkara ini. 

“MA63 adalah mengenai Sabah dan juga Sarawak dan sudah tentu kami sependapat apabila menyentuh mengenai MA63,” katanya. 

Sementara itu, Shafie yang turut sependapat dengan Abang Johari berkata Sabah dan Sarawak perlu bersama dan satu suara dalam perkara ini demi kepentingan kedua-dua negeri dan negara secara keseluruhannya. 

“Kita membentuk Malaysia secara aman menerusi perbincangan bersama dan apa yang telah dipersetujui dibawah MA63 itu harus dipenuhi. 

“Jadi sebarang perubahan yang perlu dibuat harus dibincangkan secara bersama,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Abang Johari berkata selain lawatan rasmi pertama Shafie ia turut membincangkan kerjasama antara kedua-dua negeri dalam pelbagai bidang. 

Antaranya kerjasama dalam sektor kuasa elektrik, automobil, pelancongan serta industri yang akan memanfaatkan kedua-dua negeri. 

Shafie dalam pada itu berkata Sabah perlu mempelajari banyak perkara dari Sarawak terutama dari cara negeri ini ditadbir. 

Kerjasama rapat antara Sabah dan Sarawak katanya adalah penting untuk membolehkan kedua-dua negeri berdepan dengan ekonomi dunia yang mencabar dengan kewangan negara yang tidak stabil. 

  • oleh
  • Advertisement