Anda di sini

Pulau Tetabuan bakal miliki klinik desa

Advertisement
 Wong (dua kiri) dan Christina (tiga kiri) meninjau tapak cadangan pembinaan Klinik Desa di Kampung Pulau Tetabuan semalam. — Gambar Bernama
KEMUDAHAN PENDUDUK: Wong (dua kiri) dan Christina (tiga kiri) meninjau tapak cadangan pembinaan Klinik Desa di Kampung Pulau Tetabuan semalam. — Gambar Bernama

BELURAN: Pulau Tetabuan dekat sini yang dihuni kira-kira 1,000 penduduk  dengan majoritinya bekerja sebagai nelayan akan menerima sebuah klinik desa tahun depan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien  Fatt berkata pembinaan  klinik desa itu bagi memenuhi permohonan penduduk sejak empat tahun lalu.

Klinik itu yang dianggar menelan belanja sekitar  RM300,000 akan dibina berhampiran Sekolah Kebangsaan Tetabuan, katanya yang ditemui selepas turun padang ke pulau berkenaan kelmarin.

Beliau diiringi Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Christina Rundi.

Wong berkata kerajaan juga akan membina kuarters untuk petugas klinik tersebut.

Pada masa ini Beluran mempunyai empat klinik desa iaitu di Kampung Melalin di Pulau Jambongan, Kampung Kolapis, Kampung Kiabau,Telupid; dan Kampung Botition, Paitan.

Mengulas lanjut, Wong berkata kerajaan negeri melihat permohonan penduduk Pulau Tetabuan itu sebagai satu keperluan mendesak memandangkan pada masa ini mereka terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Beluran yang terletak sejam perjalanan menaiki bot.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Tetabuan Ansain Baharun berharap pembinaan klinik desa tersebut dapat disegerakan khususnya bagi menampung keperluan ibu mengandung, warga emas dan kanak-kanak.

Menurutnya kos untuk mendapatkan rawatan di Hospital Beluran amat membebankan penduduk yang rata-rata tidak mempunyai pendapatan tetap kerana mereka terpaksa berbelanja kira-kira RM100 setiap kali turun ke pekan Beluran. — Bernama

Advertisement