Anda di sini

Pindaan Perkara 1(2) perlu penelitian holistik: Abg Johari

Advertisement
 Abang Johari sambil diiringi Dr Rundi (tiga kanan) meneliti produk yang dipamerkan sempena BWWEC 2018 di Kuching, semalam.
PRODUK: Abang Johari sambil diiringi Dr Rundi (tiga kanan) meneliti produk yang dipamerkan sempena BWWEC 2018 di Kuching, semalam.

KUCHING: Sarawak menghargai cadangan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memulihkan status atau kedudukannya.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perkara itu seharusnya diteliti dengan secara holistik dan menyeluruh.

“Saya menghargai cadangan untuk meminda Perlembagaan untuk memulihkan kedudukan Sarawak tetapi saya berpendapat adalah lebih baik bagi kita untuk melihat perkara ini secara holistik.

“Ini kerana terdapat satu Perkara dalam Perlembagaan 112D yang perlu diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Air dan Kumbahan Borneo (BWWEC) 2018 yang dihadiri Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong bahawa kerajaan persekutuan serius untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak dalam Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambah Abang Johari, sehubungan itu Sarawak mahu satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) membabitkan kerajaan negeri dan persekutuan ditubuhkan dalam meneliti perkara berkaitan perlembagaan dan MA63.

Katanya, meskipun terdapat jawatankuasa sedia ada untuk menelitinya tetapi beliau telah menyuarakan agar jawatankuasa itu diperkembangkan.

“Kita mahu jawatankuasa sedia ada itu diperkembangkan dan bukan jawatankuasa kabinet.

“Ia mesti menyerupai jawatankuasa antara kerajaan (IGC) untuk mengkaji semua aspek dalam Perlembagaan kita selain Perjanjian Malaysia,” katanya.

Abang Johari berkata, IGC berkenaan boleh dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen supaya mereka dapat berinteraksi dan mengkaji perkara itu sama seperti model IGC.

Sementara itu Liew pada Isnin lepas berkata, bagaimanapun untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen memerlukan sokongan daripada pihak pembangkang.

Menurut beliau, pindaan artikel itu untuk diluluskan di Parlimen mesti mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, yang bermakna pihak pembangkang juga mesti mengundi untuk menyokong.

“Namun untuk menjadikan ini kenyataan, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekuruan mesti dipinda.

“Apabila ia dilakukan saya fikir yang akan menyusul...kita mesti bermula dari Artikel 1(2) terlebih dahulu,” kata Liew.

  • oleh
  • Advertisement