Anda di sini

Pengawal keselamatan didenda RM1,500 cederakan adik kandung

Advertisement
VONING (kanan) berbual dengan rakannya di perkarangan balai polis mahkamah selepas selesai membayar denda yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret.
VONING (kanan) berbual dengan rakannya di perkarangan balai polis mahkamah selepas selesai membayar denda yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret.

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan yang menyebabkan kecederaan terhadap adik kandungnya, dikenakan hukuman denda RM1,500 atau penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Afiq Agoes turut memerintahkan Voning Sikomin, 55, membayar pampasan RM150 kepada mangsa yang berumur 53 tahun atau sekiranya gagal bayar, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara selama sebulan.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan yag dilakukannya pada 16 Jun tahun ini, jam 8.18 pagi di Kampung Kipangah Penampang, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, Voning mengakui kesilapannya dan menjelaskan bahawa ia disebabkan salah faham sehingga mengakibatkan perasaan marahnya tidak dapat dikawal sekaligus memukul mangsa ketika dalam keadaan mabuk.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nurhidayah Mahzan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Sesyen, seorang ibu kepada lima orang dikenakan empat bulan penjara kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh masa dan pasport tamat tempoh.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Albaija Jamamawe Salleh selepas mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit bersalah, dia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa ASP Sabrina Jinus berkata, pasport tertuduh sudah tamat tempoh sejak 28 Jun tahun lepas lagi.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah supaya meringankan hukuman dan dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin.

Sementara itu, lapan warga asing termasuk seorang wanita dikenakan hukuman penjara selama empat bulan kerana masuk ke negara ini tanpa permit yang sah.

Untuk itu, mereka yang berumur lingkungan 18 hingga 50 tahun itu melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga hingga lima tahun, atau kedua-duanya dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan empat lelaki warga asing dikenakan satu sebatan kecuali seorang wanita dan dua lelaki berumur 50 dan 18 tahun.

Kesemua mereka juga diarahkan supaya dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman untuk pengusiran ke negara asal.

  • oleh
  • Advertisement