Anda di sini

Pegawai pengurus pilihan raya dipenjara tiga bulan

Advertisement

SEREMBAN: Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau Amino Agus Suyub kerana didapati bersalah mengacau ganggu pentadbiran keadilan.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi, Daing Muhamad Rahimi dan Amino, dan menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum semalam.

Dalam penghakimannya, beliau berkata perbuatan Amino yang menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada Daing, sehari sebelum Daing memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah, adalah perbuatan yang sangat serius dan dianggap menghina mahkamah.

Daing ialah Penolong Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Rembau semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 28 April lepas.

Dalam WhatsApp tersebut yang dihantar melalui talian peribadi Amino berbunyi, “As Salam.. Lepas ni kau akan jadi saksi… hati-hati...teruk den (saya) kono (kena) soal dalam court (mahkamah)... lebih baik cakap tak tau..”.

Amino dalam hujahan pembelaannya berkata, WhatsApp itu dihantar sebagai luahan perasaan sahaja dan tidak berniat untuk mengajar Daing bagaimana hendak memberi keterangan kepada mahkamah selain mendakwa tidak tahu bahawa beliau tidak boleh berhubung dengan saksi yang lain ketika prosiding kes masih berjalan.

Hakim Azimah bagaimanapun berkata, bahawa Amino dengan penuh pengetahuan tahu bahawa Daing akan menjadi saksi pada 4 Oktober, iaitu sehari selepas WhatsApp itu dihantar.

“Dalam hal ini, mahkamah berpendapat posting yang dihantar Amino berbaur arahan kepada bagaimana hendak menjawab soalan di mahkamah semasa memberi keterangan nanti.

“Tindakan mengajar saksi adalah satu kesalahan yang berat dan tidak boleh dipandang ringan mahkamah. Amino patut tahu kesan dan akibat perbuatannya akan menjejaskan perbicaraan yang adil bagi kes petisyen ini,” katanya.

Peguam G. Rajasingam yang mewakili Amino memohon kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman selain daripada penjara kerana sebagai penjawat awam, Amino boleh dikenakan tindakan penamatan perkhidmatan sekiranya dipenjarakan.

Beliau berkata Amino merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarganya dan perlu menanggung ibu yang lanjut usia, isteri tidak bekerja dan tujuh anak di mana anak bongsunya yang berusia setahun lebih menghidap penyakit jantung berlubang.

Hakim Azimah, selepas mendengar rayuan yang dikemukakan pihak Amino, berkata mahkamah prihatin berhubung hal peribadi dari aspek keluarga, pekerjaan dan kesan sampingan akibat penghukuman ini.

“Tidak dinafikan perbuatan mengajar saksi untuk memberi keterangan adalah perbuatan yang serius dan berat. Ini juga bukan kes sivil biasa. Sebagai seorang Pengurus Pilihan Raya, Amino patut sedar keseriusan kes petisyen ini.

“Atas alasan keseriusan perbuatan Amino, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini (semalam),” katanya.

Rajasingam kemudiannya memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat dan Hakim Azimah membenarkan permohonan itu. — Bernama

Advertisement