Anda di sini

Pasaran bon Malaysia antara paling menarik dalam ekonomi pesat membangun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasaran bon Malaysia merupakan antara yang paling menarik dalam kalangan ekonomi pesat membangun, didorong oleh asas kukuh, lebihan akaun semasa dan peningkatan harga komoditi, kata kumpulan pengurusan pelaburan global.

Ketua Hutang Negara Asia Aberdeen Asset Management Asia Ltd Kenneth Akintewe berkata, tidak seperti sebahagian besar pasaran pesat membangun yang teruk terjejas oleh peningkatan harga komoditi, Malaysia meraih manfaat daripada kedudukan itu hasil daripada eksport komoditi negara yang positif.

“Ia sebenarnya menyediakan beberapa tahap rangsangan positif dan menyokong penilaian asas pasaran,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Pelaburan 2018 di sini semalam.

Beliau berkata, pasaran bon Malaysia juga sangat murah disebabkan oleh pembetulan terhadap peristiwa sebelumnya seperti halangan penghantaran tanpa serahan serta kejutan keputusan pilihan raya umum yang lepas.

“Namun, apabila anda membandingkan penilaian dengan beberapa penilaian yang anda lihat sejak beberapa tahun lepas, ia nampak sangat murah.

“Oleh itu, anda juga boleh membeli bon antara 10 hingga 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pasaran bon negara juga sangat stabil berbanding dengan pasaran pesat membangun yang lain selain kurang pendedahan terhadap pulangan Perbendaharaan AS.

“Ini memberikan sedikit kepelbagaian daripada kenaikan Perbendaharaan AS, jauh daripada risiko pasaran jenis baharu yang semakin luas dan beberapa tahap kestabilan dalam portfolio mereka (pelabur),” katanya.

Mengenai hutang Malaysia,beliau berkata, usaha kerajaan terhadap pengukuhan fiskal dan pengurusan hutang itu bukan sahaja menumpukan pada tahap hutang mutlak malah juga komposisi hutang seperti hutang jangka pendek dan luar.

“Malaysia, serta banyak ekonomi Asia, mempunyai profil hutang matang yang sangat baik, hutang luar negeri yang agak rendah, liputan hutang jangka pendek dan rizab pertukaran asing yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, persekitaran pertumbuhan ekonomi yang mantap di rantau ini dijangka meningkatkan keupayaan kerajaan dan penggubal dasar untuk menurunkan tahap hutang.

Bertemakan ‘Kepelbagaian: Menentukan semula Perspektif’, persidangan itu membincangkan peluang dalam iklim semasa merentas kelas-kelas aset. — Bernama

Advertisement