Anda di sini

Operasi tumbang pokok sawit tua undang kemasukan 62 gajah

Advertisement
ANTARA kumpulan gajah yang sedang mendapatkan umbut sawit.
ANTARA kumpulan gajah yang sedang mendapatkan umbut sawit.

LAHAD DATU: Operasi menumbang dan mencincang pokok sawit tua telah mengundang kemasukan semula 62 ekor gajah ke beberapa ladang berhampiran sempadan hutan simpan di sini sejak minggu lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Augustine Tuuga berkata antara ladang yang terlibat ialah Ladang Transkina, Ladang Agro Chem dan pekebun-pekebun kecil yang terletak di antara Hutan Simpan Kawag dan Hutan Simpan Mesuli.

"Gajah masuk ke kawasan tertentu ladang kerana pihak ladang sedang menumbang dan mencincang pokok sawit tua dan gajah masuk untuk memakan bahagian umbut tanaman itu.

"Kawanan gajah ini pula dilaporkan berpecah kepada lima kumpulan kecil hingga menyebabkan kesukaran menghalau mereka kembali ke habitatnya di Hutan Simpan Kawag ataupun Hutan Simpan Ulu Segama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, gajah-gajah itu dilaporkan berada di Hutan Simpan Mesuli pada waktu siang dan masuk ke ladang pada waktu petang hingga subuh.

"Petugas menghalau gajah-gajah itu dengan menggunakan bunyi tembakan senapang serta menghidupkan unggun api.

"Selain itu, pihak ladang juga menggunakan kenderaan dan jentera berat untuk tujuan menghalau mereka ke habitat," katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu Silvester Saiman berkata pihak pengurusan ladang-ladang yang terlibat memberi kerjasama untuk menjayakan usaha memastikan kumpulan gajah itu kembali ke habitatnya.

Katanya, pematuhan pada arahan yang telah ditetapkan dan memastikan haiwan yang dilindungi itu tidak cedera dan dicederakan dititikberatkan pihak ladang.

"Gajah ini dikatakan tidak ke ladang ini lebih kurang 20 tahun dan dengan kerjasama erat petugas jabatan serta agensi lain yang terlibat, masalah ini akan dapat selesaikan," katanya.

Ditanya mengenai kerosakan yang berpunca daripada kemasukan gajah, beliau berkata setakat ini belum ada laporan diterima pihaknya.

  • oleh
  • Advertisement