Anda di sini

Lebih 1,200 Bomba Johor siap siaga hadapi musim tengkujuh

Advertisement
 Yahaya memberi tabik hormat dan memeriksa perbarisan Bomba dan Penyelamat  pada Majlis Tabik Hormat Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat yang baharu Datuk Yahaya Madis di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Johor semalam. — Gambar Bernama
SEDIA: Yahaya memberi tabik hormat dan memeriksa perbarisan Bomba dan Penyelamat pada Majlis Tabik Hormat Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat yang baharu Datuk Yahaya Madis di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Johor semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Seramai 1,179 pegawai dan 120 pegawai bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, selain 929 ahli pasukan bomba sukarela dari seluruh Johor, kini diletak dalam keadaan siap siaga sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar di negeri ini.

Pengarah JBPM negeri Datuk Yahaya Madis berkata selain pegawai dan anggota bersiap siaga, jabatan itu juga akan memastikan kesemua 63 bot penyelamat dan 148 kenderaan utiliti di bawah jagaannya berada dalam keadaan baik.

Yahaya, yang baharu memulakan tugas di negeri ini pada 1 Okt lalu, berkata anggota bomba bukan sahaja berperanan untuk menyelamat tetapi juga membantu proses pemindahan mangsa-mangsa ke pusat pemindahan yang ditetapkan.

“Pada 8 Okt lalu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NBCC) mengeluarkan notis kesiapsiagaan operasi, (yang mana) pada 10 hingga 12 Okt dijangka akan berlaku air pasang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tabik Hormat Pengarah JBPM Negeri yang baharu di sini semalam.

“Sekiranya fenomena ini berlaku berserta hujan lebat dan angin kencang, (kita jangka) akan menyebabkan risiko banjir tinggi terutama di kawasan pesisiran pantai di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia,” katanya.

Justeru itu, orang awam dinasihatkan untuk tidak berada di kawasan laut, sungai dan tasik sepanjang musim tengkujuh selain menjaga pergerakan anak-anak mereka.

Beliau turut menegaskan, orang awam diingatkan untuk tidak menyebar atau menularkan berita mengenai sebarang kejadian tidak sahih, sebaliknya harus mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Yahaya turut menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga enam anggota dan pegawai bomba yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas menyelamat di Taman Putra Perdana, Puchong, pada 3 Okt lalu.

“Setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya, jadi kita di Johor ambil pengajaran daripada kejadian tersebut supaya perkara itu tidak berulang lagi. Kita ambil kira perkara yang di luar jangka boleh berlaku,” tambahnya.

Yahaya, yang juga anak jati Johor menggantikan Othman Abdullah yang berpindah ke JBPM Putrajaya sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan.

“Saya telah berkhidmat selama 33 tahun dan ini pertama kali pulang berkhidmat di negeri kelahiran saya, jadi saya harap dapat memberikan yang terbaik dan mendapat kerjasama daripada semua pegawai dan anggota serta rakan media,” katanya. — Bernama

Advertisement