Anda di sini

Kuching tuan rumah Anugerah Televisyen Asia

Advertisement
 Karim bersama Lee (lima kiri) merakam kenangan bersama pihak penganjur pada sidang media ATA Ke-23 di Kuching, semalam. Turut kelihatan Lee dan Snowdan serta tetamu lain.
TUAN RUMAH: Karim bersama Lee (lima kiri) merakam kenangan bersama pihak penganjur pada sidang media ATA Ke-23 di Kuching, semalam. Turut kelihatan Lee dan Snowdan serta tetamu lain.

KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 buat julung kalinya di bandar raya ini, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 11 dan 12 Januari tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan amat mengalu-alukan acara berprestij ini kerana ia bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri sejajar dengan Kempen Tahun Melawat Sarawak 2019.

Pada masa sama katanya, acara ini dapat memperkenalkan Sarawak yang memiliki kepelbagaian kaum dan keindahan alam semula jadi di mata dunia.

“Acara yang berlangsung selama dua hari ini bakal menampilkan sehingga 60 selebriti terkenal dari negara-negara Asia.

“Ia akan disiarkan secara langsung di 22 negara di seluruh Asia dengan seramai 500 juta isi rumah akan menyaksikannya berdasarkan kepada statitistik yang direkodkan semasa penganjuran ATA di Singapura pada 2017.

“Justeru, kita merasakan bahawa dengan penganjuran ATA di sini, ia sudah pasti menjadi penggalak utama kepada sektor pelancongan negeri sejajar dengan Kempen Tahun Melawat Sarawak 2019,” kata beliau.

Karim berkata demikian pada sidang media ATA Ke-23 di BCCK di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi ATV Awards Sdn Bhd Lee Keen Whye dan tetamu jemputan lain.

Sementara itu, Lee menyuarakan rasa gembira atas sokongan yang diberikan Kerajaan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak untuk menjayakan acara itu nanti.

Menurutnya, ATA diadakan sejak 1996 sebagai mengiktiraf rancangan televisyen terbaik dalam industri penyiaran sama ada di hadapan kamera atau di sebalik tadbir.

“Untuk kali ini, ATA yang diadakan di Kuching telah menerima penyertaan daripada 49 penyiar dan syarikat produksi daripada 14 negara dan kini  dalam proses pemilihan oleh 58 hakim yang dilantik,” katanya.

Bagi merancakkan lagi acara tersebut, ATA Ke-23 akan dihoskan dua selebriti terkenal iaitu Choy Wan dan Adrian Jalaluddin,” tambah beliau.

Selain daripada acara tersebut katanya, pihaknya turut akan menganjurkan konsert kepada orang awam di Panggung Udara, Jalan Budaya di sini pada 13 Januari tahun depan.

  • oleh
  • Advertisement