Anda di sini

Jonathan menang perak Sukan Para Asia

Advertisement
JONATHAN (kanan) bersama jurulatihnya, Yee Kok Wai selepas majlis penyampaian hadiah pada Sukan Para Asia di Jakarta Indonesia.
JONATHAN (kanan) bersama jurulatihnya, Yee Kok Wai selepas majlis penyampaian hadiah pada Sukan Para Asia di Jakarta Indonesia.

KOTA KINABALU: Atle Sabah Jonathan Wong Kar Gee menang pingat perak untuk Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki Sukan Para Asia Ketiga yang sedang berlangsung di Jakarta Indonesia.

Bertanding dalam kategori masalah penglihatan (T12), Jonathan mencatat jarak lompatan 7.05m pada pertandingan akhir yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno hari ini.

Pingat emas dimenangi Saliev Doniyor (Uzbekistan) dengan catatan 7.22m manakala gangsa dimenangi Khosravani Amir (Iran - 7.01m).

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Terrance Edward Pudin berkata, Jonathan mempunyai catatan peribadi terbaik 7.22m dan merupakan sandaran emas tetapi menang perak pada penampilan pertama pada kejohanan itu tetap pencapaian yang membanggakan.

"Tahniah kepada Jonathan yang menang perak...ia pencapaian yang sangat membanggakan kita," katanya ketika ditemui di semasa Majlis Penyerahan Bendera Sabah kepada kontinjen Sabah ke Sukan Orang Pekak (SOPMA) Perak 2018 di Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah di Wisma Muis pada Khamis.

"Ia bukan mudah kerana tahap persaingan di Sukan Para Asia sangat tinggi di mana ianya disertai ramai atlet bertaraf dunia. Banyak rekod dunia dipecahkan pada kejohanan itu termasuk dari atlet negara kita.

"Jonathan juga disasarkan untuk Paralimpik Tokyo 2020 bersama beberapa atlet lain negeri ini seperti Doriah Paulus dan Eddy Bernard. Harap-harap mereka akan dapat tempat ke Paralimpik," kata Terrance.

Jurulatih Jonathan, Yee Kok Wai juga gembira dengan pencapaian anak didiknya itu.

"Catatan yang dia lakukan tidak jauh dari catatan peribadi terbaiknya...ini adalah penyertaan pertamanya dalam kejohanan besar dan dapat keputusan seperti ini adalah satu percubaan yang baik," katanya.

Sambil itu, seorang lagi atlet Sabah, Didin Taresoh yang juga bekas juara dunia Para Badminton juga sudah mempunyai pingat dalam genggaman selepas layak ke perlawanan akhir kategori SS6.

Didin menewaskan Nagar Khrisna dari India 21-16, 22-20 pada separuh akhir dan akan bertemu Chu Man kai dari Hong Kong pada perlawanan akhir. Man Kai menewaskan rakan sepasukan, Wong Chun Yim 21-19, 21-23, 21-17 pada separuh akhir.

Sembilan atlet Sabah membawa cabaran negara pada kejohanan yang akan berlangsung sehingga 13 Oktober itu.

Atlet Sabah itu terdiri daripada Jonathan, Doriah, Eddy, Didin, Adderin Majurin, Jacklon Ganding, Ramli Rahim, Lidwina Isidore dan Haswadi Moliadi.

  • oleh
  • Advertisement