Anda di sini

Jawatankuasa Khas Kabinet MA63, Sabah dan Sarawak mempunyai wakil mencukupi

Advertisement
BARU BIAN
BARU BIAN

KUCHING: Sarawak dan Sabah mempunyai perwakilan yang mencukupi dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA63, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian.

Beliau berkata selain mempunyai perwakilan daripada kalangan Ahli Kabinet dari Sabah dan Sarawak jawatankuasa khas itu turut memasukkan Ketua Menteri kedua-dua negeri.

Pelantikan wakil dari kedua-dua negeri termasuk eksekutif tertingginya iaitu ketua menteri membuktikan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) sedia mendengar pandangan serta pendirian kedua-dua negeri ini berhubung MA63.

Menurutnya jawatankuasa itu perlu mempunyai perwakilan negeri yang cukup untuk membolehkannya mengkaji semula MA63 seterusnya mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti di dalam perjanjian itu.

"Inilah perkara sebenarnya yang mahu kita (kerajaan PH) buktikan, kita mahu mengkaji dan melihat semula MA63, apa yang tertinggal dan yang belum ditunaikan oleh kerajaan sebelum ini.

"Itulah tujuan sebenar penubuhan jawatankuasa ini iaitu mengkaji semula dan mencadang langkah-langkah bagi membetulkan status Sabah dan Sarawak," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Baru yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian apabila diminta mengulas penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad serta lapan lagi menteri kabinet.

Tambahnya beliau akan mewakili Sarawak sebagai menteri kabinet dalam jawatankuasa khas itu manakala Sabah diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Enam lagi menteri kabinet yang membarisi jawatankuasa khas itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, dan Menteri Pengangkutuan Anthony Loke.

Ahli lain jawatankuasa khas itu ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Peguam Negara (AG)Tommy Thomas, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar dan akademik undang-undang seperti Prof Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi.

Kelmarin Liew ketika mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu  dalam satu majlis di Universiti Malaya dipetik oleh portal berita berbahasa Inggeris sebagai berkata jawatankuasa khas itu dibahagikan kepada tiga peringkat.

"Terdapat tiga peringkat: Yang pertama ialah jawatankuasa pemandu yang mempunyai orang berkuasa tinggi di sana; jawatankuasa teknikal, saya dan AG akan menjadi pengerusi dan terdiri daripada Anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak dan ketua-ketua jabatan yang berkaitan, dan jawatankuasa kerja, " jelas Liew.

Advertisement