Anda di sini

Dua lelaki ditemukan mati dalam kenderaan

Advertisement
ANGGOTA bomba membuka pintu kereta terbabit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa.
ANGGOTA bomba membuka pintu kereta terbabit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa.

KINABATANGAN: Dua lelaki ditemukan mati di dalam sebuah kenderaan yang enjinnya masih hidup di tepi jalan Kilometer 80, Jalan Sandakan-Lahad Datu, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Fitri Haimin dan Mohd Helmi Muhammad, kedua-duanya berumur 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, dalam kejadianjam 11.46 pagi itu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat dua lelaki seperti sedang tidur di dalam sebuah kereta dengan enjin yang masih hidup, yang diletakkan di tepi jalan Kg Jaya Baru, di sini.

"Hasil pemeriksaan dari luar kereta, orang awam mengesyaki kedua-dua lelaki berkenaan telah mati apabila tiada sebarang tindak balas ketika cermin dan pintu kenderaan diketuk beberapa kali.

"Kedua-dua mangsa berada di tempat duduk hadapan iaitu seorang di tempat duduk pemandu dan seorang lagi di kerusi penumpang, dalam keadaan berbaring (tidur)," katanya.

Sahak berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dengan membuka pintu kereta terbabit.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran pada kedua-dua mangsa. Mangsa telah disahkan mati di dalam kenderaan oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan yang membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua mangsa yang masih berada di dalam kenderaan," katanya.

Katanya kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

  • oleh
  • Advertisement