Anda di sini

Dipenjara tujuh bulan kerana lupus harta curi

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan melupuskan harta curi berupa peralatan komputer.

Majistret Afiq Agoes menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nur Ramdan Nilwan, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan kes, dia didapati melupuskan harta curi berupa vakum serta satu set peralatan komputer seperti monitor, CPU, keyboard dan tetikus di Buhavan Square Penampang, jam 1.29 pagi pada 24 September tahun ini.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda kerana baru sahaja mendapat pekerjaan yang baharu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh supaya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 4 Oktober, manakala barangan rampasan dikembalikan kepada pemilik asal.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nurhidayah Mahzan.

Sementara dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM13,000 milik syarikat tempatnya bekerja.

Chin Sheau Feng yang bekerja di salah sebuah syarikat di sini, didakwa menggelapkan wang itu pada 7 September lalu.

Untuk itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Afiq kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,400 dengan dua penjamin tempatan.

  • oleh
  • Advertisement