Anda di sini

Agenda Agro kongsi peluang dan maklumat terkini sektor pertanian dan industri asas tani

Advertisement
 Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian’ di Kota Kinabalu, Sabah.
SELAMAT MAJU JAYA: Syed Alwi menyampaikan Anugerah AGROAgent Terbaik peringkat wilayah Sabah iaitu PPK Kalabakan kepada Fitrianie Aminuddin (tengah) dalam siri bicara bisnes ‘Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian’ di Kota Kinabalu, Sabah.

KUCHING: Agrobank meneruskan penganjuran siri bicara bisnes ‘Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian’ yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Program ini telah dihadiri lebih 100 tetamu yang juga merupakan pelanggan Agrobank dan usahawan di sekitar Sabah.

Inisiatif program Agenda Agro ini dilaksanakan adalah untuk berkongsi kepada pelanggan Agrobank dan usahawan mengenai peluang dan maklumat terkini yang ada dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Ini secara tidak langsung memberi ruang buat pelanggan yang hadir untuk berinteraksi dan berhubung terus dengan pegawai Agrobank yang berpengalaman bagi mendapatkan penerangan dan maklumat tentang sektor pertanian.

Selain daripada itu, tetamu yang hadir juga turut didedahkan dengan maklumat tentang polisi dan inisiatif terkini kerajaan yang sekali gus dapat membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan dan taraf sosioekonomi mereka.

Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Syed Alwi Mohamed Sultan, Agrobank sentiasa berusaha untuk membantu para usahawan melalui inisiatif sebegini.

Selain pembiayaan komprehensif yang ditawarkan katanya, program perkongsian bisnes seperti ini dapat membantu para pelanggan untuk merangka perancangan strategik terutamanya dalam mengembangkan empayar perniagaan mereka ke pasaran yang lebih besar tambahan pula Sabah sangat sinonim dengan aktiviti penternakan lembu, kambing, penanaman kelapa sawit, sayur-sayuran serta buah-buahan dan aktiviti pertanian lain.

“Wilayah Sabah merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar dalam industri pertanian.

“Potensi ini dapat dilihat pada prestasi memberangsangkan negeri ini di mana sehingga September 2018, jumlah pembiayaan Agrobank di negeri Sabah adalah sebanyak RM961.66 juta, iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak 16.64%, di mana ini adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun lepas iaitu sebanyak 6.51% untuk tempoh masa yang sama,” katanya.

Pada majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan sijil penghargaan kepada AGROAgent (Ejen Perbankan) iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan kerana prestasi terbaiknya di wilayah Sabah.

Pengiktirafan ini diberikan khusus bagi menghargai usaha dan komitmen AGROAgent ini dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti pertanian dan juga masyarakat setempat.

Sejak dilancarkan pada tahun 2014, seramai 125 AGROAgent telah dilantik di Wilayah Sabah.

Secara keseluruhannya, Agrobank kini mempunyai seramai 876 wakil AGROAgent di seluruh negara.

Sabah merupakan lokasi ketujuh selepas penganjuran di enam (6) lokasi sebelum ini iaitu di Perlis, Pahang, Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Advertisement