Anda di sini

Setiausaha politik payung kepada rakyat: Shafie

Advertisement
SHAFIE (duduk, enam kanan) dan barisan jemaah menteri merakamkan kenangan bersama setiausaha-setiausaha politik.
SHAFIE (duduk, enam kanan) dan barisan jemaah menteri merakamkan kenangan bersama setiausaha-setiausaha politik.

KOTA KINABALU: Setiausaha politik memainkan peranan besar sebagai payung untuk rakyat mendapat pertolongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, tidak semua rakyat mempunyai keupayaan dan peluang bertemu dengan menteri.

Justeru katanya, tugas dan tanggungjawab setiausaha politik umpama 'jambatan' dalam menghubungkan menteri dengan rakyat.

"Apabila landasan jambatan ini dapat kita kukuhkan bukan kerana jawatan semata-mata, sudah tentu rakyat lebih yakin dengan  perkhidmatan kita.

"Kalau perkhidmatan kita dalam semua aspek menggunakan pendekatan yang baik, ia tentu lebih memudahkan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Angkat Sumpah Setiausaha-Setiausaha Politik, di sini hari ini.

Menurutnya, setiausaha politik adalah satu kerja yang mencabar dan ia lantikan penting sebagai penasihat politik pertama kepada menteri yang ada.

Shafie mengingatkan kepada semua setiausaha politik yang menerima pelantikan supaya tidak bermegah atau bermewah dengan jawatan berkenaan.

"Tugas yang dipikul setiausaha politik tidak akan dilaksanakan oleh menteri kerana mereka juga ada tanggungjawab masing-masing yang lebih besar.

"Imej yang dibawa setiausaha politik adalah gambaran kepada menteri. Sehubungan itu, pastikan tanggungjawab ini dipikul dengan baik agar tidak mencemarkan nama menteri selaku ketua," katanya.

Pada majlis itu, seramai 19 setiausaha politik yang menerima pelantikan mengangkat sumpah di hadapan Shafie dan barisan jemaah menteri.

  • oleh
  • Advertisement