Anda di sini

Peruntukan RM10 ribu biaya pemasangan meter elektrik

Advertisement
EWON (tengah) bersama pemilik Kilang Kopi Yit Foh Alex Yong (dua dari kiri), Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal (kiri), Adun Kemabong Jamawi Jaafar (dua dari kanan) dan Senator Dr Lucas Umbul (kanan) bergambar kenangan semasa lawatan di Kilang Kopi Yit Foh.
EWON (tengah) bersama pemilik Kilang Kopi Yit Foh Alex Yong (dua dari kiri), Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal (kiri), Adun Kemabong Jamawi Jaafar (dua dari kanan) dan Senator Dr Lucas Umbul (kanan) bergambar kenangan semasa lawatan di Kilang Kopi Yit Foh.

TENOM: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick memperuntukkan RM10,000 bagi membiayai sebahagian kos pembayaran ansuran selama 18 bulan bagi pemasangan meter dan pendawaian elektrik kepada seramai 33 peserta Mini Estate Sejahtera (Mesej) Ulu Patian dan Ungga, Kemabong.

Beliau berkata ia adalah daripada peruntukan khas menteri atau 'Touchpoints' bertujuan meringankan bebanan para peserta yang kini belum memperolehi pendapatan tetap.

“Kita gunakan peruntukan khas menteri untuk membiayai sebahagian kos pembayaran ansuran yang sepatutnya dibayar oleh setiap isi rumah bagi pendawaian elektrik atau pemasangan meter di rumah masing-masing sebab Mesej getah ini belum lagi boleh ditoreh dan mereka tiada pendapatan lain selain aktiviti pertanian sedia ada.

“Maka, saya bersetuju untuk membantu membiayai bayaran ansuran selama 18 bulan. Saya tidak mahu mereka terbeban dengan pembayaran itu walaupun mereka mampu,” katanya semasa mengadakan lawatan dan meninjau perkembangan Mesej Ulu Patian dan Mesej Unggah, Kemabong.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, selepas tempoh 18 bulan, para peserta akan membayar sendiri bayaran ansuran itu setelah menerima pendapatan melalui penorehan getah di lot masing-masing.

“Dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya tahun depan, para peserta boleh menoreh getah selepas pembahagian lot.

“Saya harap Mesej Getah ini akan memberikan pendapatan tetap kepada kesemua peserta seterusnya mengubah kehidupan keluarga mereka ke arah yang lebih selesa,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mahu para peserta mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan Mesej sahaja.
Projek Mesej Ulu Patian seluas 89 hektar dilaksanakan pada 2007, manakala Mesej Ungga pula dilaksanakan pada 2009 seluas 100 hektar.

Kedua-dua Mesej itu melibatkan 66 peserta Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT).

Advertisement