Anda di sini

Kereta tiada, rugi pula

Advertisement
 

SIBU: Hasrat seorang lelaki untuk memiliki sebuah kereta baharu berkecai, malah kerugian lebih RM7,000 setelah berurusan dengan seorang jurujual menerusi media sosial, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, pengadu yang merupakan seorang penyelia kontrak berusia 25 tahun menerima mesej mengenai penjualan kereta melalui aplikasi WhatsApp lalu berhubung dengan jurujual terbabit pada 3 Ogos lalu.

Pengadu kemudian membuat tempahan sebuah kereta sedan.

Setelah persetujuan dicapai, pengadu dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM7,570 bagi tujuan urusan pinjaman kereta, penghantaran dan bayaran pendahuluan.

Tanpa rasa curiga, pengadu membuat tujuh transaksi pembayaran dalam tempoh 3 Ogos hingga 7 September lalu.

Pengadu mulai bimbang apabila kereta yang diingininya belum diperolehi setelah menunggu lebih sebulan.

Akhirnya pengadu tersedar dirinya ditipu selepas usaha untuk menghubungi jurujual itu menemui kegagalan.

Pengadu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Ulu Lanang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi semalam mengesahkan laporan polis mengenai penipuan itu telah diterima pihaknya.

“MO (modus operandi) suspek memperdayakan pengadu untuk menyerahkan wang bagi mendapatkan kereta yang tidak wujud,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement