Anda di sini

Kerajaan Sarawak hulur bantuan kepada keluarga Yahya Ali

Fatimah menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Yahya, Halimah Geronggong dan Ali Bengang sambil disaksikan Juanda (kanan) serta ahli keluarga yang lain.
Fatimah menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Yahya, Halimah Geronggong dan Ali Bengang sambil disaksikan Juanda (kanan) serta ahli keluarga yang lain.

MUKAH: Kerajaan Sarawak hari ini menyampaikan sumbangan serta bantuan kepada keluarga Yahya Ali, yang merupakan salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban dalam tragedi operasi mencari dan menyelamat di sebuah lombong di Puchong, Rabu lepas.

Sumbangan sebanyak RM10,000 disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah di kediaman keluarga Yahya di Kampung Tian, Matu sebentar tadi.

Selain bantuan kewangan sebanyak RM10,000 itu, kerajaan Sarawak turut memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 turut diberikan kepada keluarga dan bantuan bulanan RM350 kepada nenek Yahya.  

Turut disampaikan dalam majlis itu adalah derma kilat daripada JBPM Sarawak yang diserahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis Jerry Jelani Bandang dan Ketua BBP Mukah Abdul Rasit Morni.

Dalam upacara ringkas penyerahan bantuan serta sumbangan, tahlil ringkas turut diadakan pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.

Fatimah dalam ucapannya, mengalu-alukan sokongan moral daripada ahli keluarga terdekat serta masyarakat sekeliling sebagai penyembuh kesedihan yang menimpa.

Juanda pada masa sama memberitahu kerajaan Sarawak akan menghulurkan bantuan-bantuan lain dalam pelbagai bentuk selepas ini kepada keluarga mangsa.