Anda di sini

Perniagaan tukar barang diteruskan mulai 1 Januari 2019

Advertisement
SHAFIE (tengah), Hashim (kiri) dan Omar dalam sidang media hari ini.
SHAFIE (tengah), Hashim (kiri) dan Omar dalam sidang media hari ini.

KOTA KINABALU: Perniagaan tukar barang antara Sabah dan negara jiran yang dihentikan sebelum ini atas faktor keselamatan, akan mula beroperasi pada 1 Januari 2019.

Sebagai permulaan, empat pelabuhan, iaitu Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, akan digunakan untuk memulakan semula operasi perniagaan tukar barang itu.

Ketika mengumumkannya, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pendekatan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu akan ditingkatkan bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Empat pelabuhan ini kita jadikan pangkalan untuk mewujudkan perdagangan barter antara negara jiran seperti Filipina dan Indonesia," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, di sini hari ini.

Beliau yakin aktiviti itu membolehkan usahawan tempatan meningkatkan peluang perniagaan masing-masing selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda di sini.

Katanya, kesemua pelabuhan itu akan beroperasi secara serentak.

Bagaimanapun, persediaan lebih rapi perlu dilakukan khususnya di Tawau.

"Pelbagai pembaharuan SOP dibincang, antaranya jenis barangan yang boleh diperdagangkan, langkah-langkah pemilikan yang bermaksud sekiranya wujud kejadian tidak diingin, kita boleh ketahui siapa pemilik dan seterusnya tahu bagaimana langkah mengurusnya.
 
"Aktiviti barter boleh dilaksanakan memandangkan keselamatan kini dipertingkatkan...ia juga boleh mengurangkan aktiviti tidak baik kerana kini sudah wujud perniagaan itu.

"Saya yakin negara-negara yang terlibat dengan perniagaan ini juga akan mengambil langkah serius untuk membendung segala kejadian seperti penculikan berlaku kerana ia boleh menjejaskan perniagaan dan keselamatan di negara berkenaan,"  katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan memberikan jaminan bahawa barangan subsidi seperti gas silinder dan minyak masak tertentu tidak akan didagangkan dalam aktiviti itu.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa pasukan keselamatan akan ditingkatkan di semua pelabuhan itu bagi melancarkan lagi aktiviti perdagangan barter.

  • oleh
  • Advertisement