Anda di sini

Kes fitnah Ketua Pemuda PKR Keningau tidak benar

Advertisement
OMAR
OMAR

KOTA KINABALU: Kes fitnah terhadap Ketua Pemuda PKR Keningau Raymond Ahuar yang membabitkan beliau terlibat dalam kes rogol adalah tidak benar kerana suspek sebenar sudah ditangkap.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, setelah siasatan dijalankan memang benar satu laporan polis telah dibuat oleh dua wanita warga negara jiran yang mendakwa diri mereka dirogol oleh seorang lelaki.

"Siasatan lanjut dilakukan menunjukkan Raymond bukanlah pelaku seperti yang ditular dalam media sosial, sebaliknya suspek sebenar sudah ditangkap dan mengaku melakukan kesalahan itu.

"Saya berharap semua pihak akan menghentikan spekulasi ini kerana ia adalah fitnah dan tidak benar...ketua pemuda berkenaan juga sudah buat laporan polis mengenai perkara itu," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah.

Katanya, suspek yang ditangkap itu adalah seorang warga tempatan berusia 31 tahun, petani dan berasal dari Keningau.

"Suspek ditangkap selepas laporan polis dilakukan pada 25 September lalu di Keningau.

"Dalam perkara ini, pengadu sendiri memberitahu bahawa Raymond bukan si pelaku, oleh itu semua pihak perlu berhenti menyebarkan berita palsu kerana dia tidak bersalah," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 23 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa siasatan lebih lanjut akan dilakukan terhadap rakaman yang ditularkan itu.

  • oleh
  • Advertisement