KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan mencadangkan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti sebelum pindaan dibuat pada tahun 1976.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata pindaan tersebut akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen pada 15 Oktober ini.
"Semua perkara dan isu-isu tertunggak di Sabah dan Sarawak tidak dapat diselesaikan hanya dengan mengadakan Jawatankuasa Kabinet atau dengan pengumuman Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).
"Jadi sebagai kesinambungan ucapan Perdana Menteri pada 16 September 2018, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Perkara 1(2) untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti sebelum pindaan dibuat pada tahun 1976.
"Dengan kata lain , Sabah dan Sarawak akan mendapat status mereka seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963," katanya pada majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pengumuman Liew itu adalah susulan daripada salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu menubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
Selain itu, Dr Mahathir membuat pengumuman pada 16 September 2018 bahawa status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dengan Semenanjung Malaysia akan dipulihkan.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis, Liew berharap agar cadangan pindaan tersebut mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang demi kebaikan Sarawak, Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.
"Ia mungkin mengambil masa untuk pindaan ini diproses dalam Dewan Rakyat tetapi saya berharap ia dapat diselesaikan tahun ini memandangkan dewan akan bersidang sehingga 11 Disember," ujarnya.