Anda di sini

Mencipta hubungan: Satu cara pemberian

Advertisement
 

Setelah membeli kereta dua silindernya yang pertama, Fredrick Henry Royce nyata kecewa dengan prestasi kenderaan itu. Jurutera yang kreatif itu mengambil keputusan untuk memperbaik bahagian-bahagian sedia ada untuk menjadikannya kereta yang berprestasi lebih baik. Lama-kelamaan, dia mula membina sendiri kereta dua silinder dengan 10 kuasa kuda.

Tidak lama kemudian, inovasi yang dicipta oleh Royce menarik perhatian peniaga kereta Perancis yang berpusat di London iaitu Charles Stewart Rolls. Satu perjumpaan antara mereka berdua telah diatur pada tahun 1904.

Pada perjumpaan itu, Rolls terpegun dengan kreativiti dan ketabahan Royce; kedua-duanya berbincang tentang menggabungkan bakat mereka dan kemudian bersetuju untuk menubuhkan perkongsian, Rolls Royce.

Pada Julai 1957, sekumpulan pemuzik sedang bersedia untuk membuat persembahan apabila seorang rakan mereka memperkenalkan seorang pemain gitar kepada ketua kumpulan.

Selepas persembahan itu, pemain gitar memukau hadirin dengan bakat dan pengetahuannya tentang muzik. Ketua kumpulan lantas mengajak pemain gitar itu untuk menganggotai kumpulannya.

Paul McCartney menerima jemputan John Lennon, dan beberapa tahun kemudian, muzik kumpulan mereka, The Beatles, telah merubah dunia dan mempengaruhi ramai artis ikonik untuk menyusul.

Pada 1971, Bill Fernandez terfikir untuk memperkenalkan dua kenalannya kerana gerak hatinya mengatakan yang mereka berdua secocok jika dilihat pada cinta mereka terhadap teknologi serta sifat mereka yang suka berseloroh.

Ternyata rasa hati Bill tepat sekali kerana tidak lama selepas itu, dua orang rakan baharu ini meluangkan masa mereka bersama tanpa Bill. Mereka mula mengerjakan projek teknologi, idea untuk berseloroh serta idea-idea lain.

Lama-kelamaan, mereka bekerja bersama secara profesional. Bill Fernandez kemudian menjadi salah seorang pekerja terawal di syarikat rakan-rakannya yang dinamakan Apple, yang diasaskan oleh Steve Jobs dan Steve Wozniak.

Menghubungkan titik-titik

Baru-baru ini, saya terfikir tentang beberapa kisah kejayaan luar biasa dan bagaimana mereka terjadi.

Tiga contoh yang diberi di atas adalah kisah kejayaan yang ikonik: siapa yang tidak pernah mendengar tentang Rolls Royce, The Beatles dan Apple?

Walaupun terdapat banyak kisah dan teori yang ditulis tentang mengapa orang sedemikian berjaya, terdapat satu elemen yang sering terlepas pandang: hubungan.

Dalam setiap kisah ini, dua orang dipertemukan oleh kenalan bersama. Jika Bill Fernandez tidak sibuk-sibuk memperkenalkan Steve Jobs kepada Steve Wozniak, bagaimana agaknya keputusan yang satu itu memberi kesan kepada haluan teknologi? Kedua-dua lelaki ini tinggal di kejiranan yang sama, jadi mungkin mereka akan bertemu juga akhirnya. Atau mungkin juga tidak.

Bagaimana jika Paul McCartney mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana pada hari ‘The Quarrymen’, yang diketuai John Lennon, membuat persembahan di Liverpool? Apa akan jadi jika kawan mereka berdua tidak memperkenalkan mereka? Bagaimana agaknya perbezaan muzik dan budaya popular masa kini jika kumpulan-kumpulan muzik ikonik tidak dipengaruhi oleh The Beatles?

Sememangnya, jika peristiwa-peristiwa dalam setiap situasi ini telah berlaku mengikut cara yang berbeza, hasil yang tercapai mungkin lebih baik, atau seperti yang terjadi.

Tetapi setiap pasangan ini mempunyai sifat dan ciri-ciri yang unik, minat yang sama dan tarikan kreatif yang hebat. Setiap satu menjadi kisah kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Setiap satu menjadi penentu kepada industri untuk berdekad-dekad lamanya dan mencipta legasi yang kekal kukuh bermula daripada jabat tangan pertama itu.

Dan semua ini bermula dengan hubungan.

Ganjaran perangkaian

Saya tidak terkira lagi berapa banyak kad perniagaan yang telah saya berikan dan terima selama beberapa tahun ini.

Cubaan untuk mengira bilangan insan yang berbakat dan luar biasa yang pernah saya temui akan menyakitkan kepala saya; dan jumlah perbualan yang tidak penting yang kemudiannya terbukti menjadi pemangkin kepada sesuatu yang menakjubkan membuatkan saya merasa kagum apabila dikenang kembali.

Beberapa minggu lalu, saya membaca artikel yang menceritakan tentang bagaimana pencari kerja mendapat pekerjaan bukan kerana resume (CV) dan surat pengiring yang mengagumkan, tetapi melalui perakuan dari mulut ke mulut atau perkenalan antara rakan-rakan dan teman-teman.

Ini bukan bermakna yang saya mengatakan CV dan surat permohonan itu lewah; tetapi ia menjadi semakin jelas bahawa hubungan, seperti kebiasaannya, adalah sumber yang semakin berharga untuk mencipta peluang dalam zaman moden ini.

Beberapa minggu yang lalu, saya terserempak dengan pemodal teroka muda, Liew Tian Rong, semasa sesi Alliance Bank BizSmart.

Dia perasan bagaimana saya memperkenalkan dua usahawan dan terus mencadangkan kolaborasi yang berpotensi untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pemimpin perniagaan itu.

Dia memberi saya senyuman yang menunjukkan bahawa dia berkenan serta berkata, “bagusnya melihat anda menghubungkan semua orang. Satu lagi, terima kasih kerana memperkenalkan saya kepada mereka di Blockchain,” — merujuk kepada situasi dahulu di mana saya menghubungkannya kepada peluang pelaburan yang munasabah.

Secara peribadi, saya cuba untuk menghubungkan dua pihak apabila saya rasa yang kedua-duanya secocok dan berminat dalam pemikiran dan nyala rasa masing-masing.

Saya tidak pernah berfikir, “Oh, orang ini sedang mencari pekerjaan, baik saya kenalkan dia kepada pengurus sumber manusia.”

Jika seseorang meminta saya untuk menunjuk arah kepada peluang, memanglah saya gembira untuk menolong. Tetapi, apabila bercakap tentang mencipta hubungan dengan cara proaktif, ia lebih penting bagi saya bahawa hubungan itu saling bernilai, menarik, dan menawan.

Bagi seseorang yang mempunyai idea dan impian yang berlambak-lambak pada setiap masa, saya sangat suka mencipta hubungan atas dua sebab: pertama, saya memang suka menghubungkan mereka yang saya tahu memang secocok; kedua, saya teruja untuk melihat apa yang akan berlaku apabila dua orang atau lebih bertemu buat kali pertama.

Saya rasa Bill Fernandez juga tidak tahu yang dia telah menghubungkan dua orang dengan jayanya; begitu juga rakan-rakan John Lennon dan Paul McCartney tidak menyangka apa yang akan menyusul sejak jabat tangan pertama mereka memandangkan mereka hanyalah budak-budak lelaki biasa dari Liverpool.

Yang menarik buat saya

Kisah kejayaan yang hebat selalunya tidak tercetus daripada perpasangan mereka yang kaya-raya, mempunyai hubungan dengan orang yang berpengaruh dan berstatus tinggi.

Jadi, dalam mencipta hubungan antara mereka yang mempunyai minat dan nyala rasa yang serupa, kita tidak akan tahu ke mana tujuannya, peluang apa yang menanti di ufuk, atau apa kejayaan seterusnya yang akan dihasilkan.

Manusia adalah makhluk sosial dan kita menimbulkan inovasi, penciptaan dan rekaan kita yang terhebat apabila bertemu dengan orang yang sehati sejiwa dengan kita yang begitu berkobar-kobar dalam sesuatu perkara.

Ia hadiah yang amat bermakna, memperkenalkan dua orang yang sehaluan dan lihat apa yang bakal tercetus daripada bibit perkenalan itu.

Biasanya, ia tidak ke mana pun, tetapi tiada siapa yang tahu apa kisah menakjubkan yang mungkin tercetus apabila mereka yang berkongsi minat dan matlamat bertemu dan berbincang tentang idea yang berinovasi dan kemungkinan yang pelik-pelik yang mungkin merubah dunia.

Sumber

 
  • oleh
  • Advertisement