Anda di sini

Kuasa pantau projek pembangunan di Betong kini dalam tangan pemimpin masyarakat

Uggah (tiga kiri) menyampaikan geran RTP kepada salah seorang pemimpin masyarakat di Betong sambil disaksikan yang lain.
Uggah (tiga kiri) menyampaikan geran RTP kepada salah seorang pemimpin masyarakat di Betong sambil disaksikan yang lain.

KUCHING: Pemimpin masyarakat di Betong kini boleh memantau rapi pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua projek akan disertakan dengan Bil Kuantiti (BQ) untuk rujukan pemimpin masyarakat. 

Jelasnya, BQ adalah dokumen lengkap mengenai semua spesifikasi dan skop projek yang disediakan oleh jabatan atau agensi kerajaan yang berkenaan. 

Menerusi langkah ini, pemimpin masyarakat boleh mengelak daripada perubahan kecil dalam pelaksanaan projek masing-masing. 

“Betong adalah kawasan pertama di negeri ini yang melaksanakan pemantauan oleh pemimpin masyarakat. 

“Dengan dokumen ini, pemimpin masyarakat boleh membantu kerajaan untuk memastikan pelaksanaan mengikuti semua spesifikasi. 

“Ini akan dapat mengelak sebarang kerja-kerja kurang baik yang boleh menjadi sumber rungutan terhadap kerajaan,” katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Mountain Bike yang dianjurkan sempena Karnival Ulu Paku di perkarangan Rumah Francis Nyanggau di Ulu Penom, Betong pada malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Robert Lawson Chuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu dan Residen Betong Friday Belik. 

Uggah berkata, jika mana-mana kontraktor didapati tidak mengikuti spesifikasi projek, pemimpin masyarakat boleh membangkitkan perkara ini dengan Pegawai Daerah di kawasan masing-masing. 

“Kita mahu ada ketelusan dalam pelaksanaan semua projek transformasi di kawasan luar bandar kita. 

“Kita mahu memberi kuasa kepada pemimpin masyarakat kita dalam pelaksanaan projek,” tambahnya. 

Bercakap mengenai karnival tersebut, Uggah berkata ia adalah selari dengan hala tuju Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu melihat rakyat luar bandar mempunyai pendapatan tambahan menerusi festival seperti ini. 

Selain itu, katanya, festival ini juga pelung untuk masyarakat luar bandar memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan antara mereka. 

Pada karnival tersebut, Uggah turut mengagihkan geran Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM6.5 juta bagi 44 buah projek kepada pemimpin masyarakat, sekolah dan persatuan.