Anda di sini

‘A Land Imagined’, kisah suka duka pekerja buruh migran Singapura

Advertisement
 Gambar tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh Akanga Film Asia pada 26 September 2018 ini menunjukkan salah satu babak untuk filem  ‘A Land Imagined’  yang menampilkan pelakon Singapura Peter Yu dalam watak utama.  — Gambar AFP
REALITI KEHIDUPAN: Gambar tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh Akanga Film Asia pada 26 September 2018 ini menunjukkan salah satu babak untuk filem ‘A Land Imagined’ yang menampilkan pelakon Singapura Peter Yu dalam watak utama. — Gambar AFP

JAUH daripada kemewahan yang dipamerkan dalam filem komedi romantik yang popular ‘Crazy Rich Asians’, sebuah filem yang menerima pujian daripada pengkritik menarik perhatian kepada sisi Singapura yang tidak begitu diketahui ramai - kewujudan pekerja pendatang yang tidak tentu.  

‘A Land Imagined’ menceritakan kisah seorang pekerja buruh dari China yang hilang ketika dia bekerja di sebuah tapak pembinaan, serta usaha seorang penyiasat yang sudah bosan dengan dunia untuk menjejakinya.

Kehidupannya yang sepi bertindak sebagai jendela ke dalam dunia kira-kira 280,000 pekerja asing yang membanting tulang untuk membina bangunan pencakar langit yang terang-benderang dan bangunan perumahan tinggi dan ada di mana-mana di Singapura.

Filem itu mengadakan tayangan sulungnya pada Ogos lalu di Festival Locarno, di mana ia memenangi hadiah utama, dan memaparkan babak tapak pembinaan yang suram, asrama pekerja yang kusam, dan lebuh yang diterangi neon dan dilanda hujan.

Pengarah dari Singapura Yeo Siew Hua berkata filem itu mahu mewujudkan kesedaran tentang kehidupan pekerja buruh migran yang telah berpusu-pusu ke bandar raya mewah itu dari bahagian yang lebih mundur di Asia dan sering dianggap sebagai “orang luar”.

“Apabila kita bercakap tentang tenaga kerja migran di Singapura, terdapat kebutaan tertentu, terutamanya dalam masyarakat aliran utama,” kata Yeo kepada AFP.

“Filem itu cuba memaparkan mereka sebagai manusia, sebagai orang dengan harapan dan impian.”

- Gambaran bertentangan -

Ia mengadakan tayangan sulungnya pada waktu yang sama dengan pengeluaran filem Hollywood ‘Crazy Rich Asians’ di Amerika Syarikat, yang menjadi ‘box-office hit’ dan menerima pujian bagi barisan pelakonnya yang majoriti berasal dari Asia - tetapi gambarannya bagi bandar raya di negara itu berbeza sama sekali.

Filem komedi romantik itu, mengenai seorang profesor ekonomi Cina Amerika dan teman lelakinya dari Singapura, memberi tumpuan kepada golongan elit etnik Cina yang ultra-mewah dan memaparkan pemandangan yang terkenal, seperti latar langit tebingan air yang mengagumkan.

‘A Land Imagined’ pula mengisahkan tentang kehidupan Wang Bi Cheng dari China, yang bekerja untuk sebuah syarikat penebusgunaan tanah - kira-kira sesuku kawasan Singapura terletak di atas tanah yang ditebusguna.

Ini merupakan punca kontroversi yang sudah sekian lama wujud kerana pasir diimport untuk penebusgunaan dari bahagian lain di Asia, satu amalan yang menurut kumpulan hijau (aktivis alam sekitar) menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar di negara-negara pembekal.

Dia tinggal di sebuah asrama kongsi di tepi sebatang jalan yang sibuk dan menghabiskan waktu malam dengan bermain permainan komputer di sebuah kafe siber - dan berkawan dengan wanita nakal yang bekerja di sana - dan melepak dengan seorang pekerja buruh dari Bangladesh yang bergelut dengan hutang.

Apabila Wang hilang, polis menghantar seorang penyiasat yang bosan, Lok, yang terkejut apabila dia melihat keadaan hidup pendatang.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja dengan pekerja buruh asing di bandar raya yang mempunyai 5.6 juta penduduk itu mengalu-alukan filem itu kerana menarik perhatian kepada kehidupan mereka.

Stephanie Chok, pengurus komunikasi dan advokasi dari kumpulan kempen Home, berkata cabaran bagi pekerja buruh asing adalah pelbagai, daripada keadaan hidup yang buruk hingga kepada waktu kerja yang lama dan majikan yang tidak beretika dan menahan gaji atau membayar gaji yang rendah kepada mereka.

Gambaran bagi kehidupan pekerja dalam filem itu nampak benar, seperti kompleks asrama besar yang serba lengkap di bahagian yang tidak begitu diingini di Singapura dan majikan yang menahan pasport pekerja untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara, katanya.

Rakan Wang dari Bangladesh, Ajit, tidak dapat meninggalkan Singapura kerana hutang - satu masalah yang biasa bagi pekerja buruh asing, yang selalunya mendapatkan pinjaman untuk fi bagi mendapatkan pekerjaan dan tidak dapat membayar balik disebabkan oleh gaji rendah, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun Kementerian Tenaga Kerja Singapura menegaskan bahawa tinjauan yang ditauliahkannya menunjukkan majoriti besar pekerja asing berpuas hati dengan kerja di bandar raya itu dan menganggap ia “sebuah negara destinasi yang menarik”.

Kementerian itu mempunyai “kerangka kerja pengawalan yang menyeluruh untuk memastikan pekerja asing di Singapura diurus dengan baik, dan kesejahteraan mereka tidak dikompromi”, seorang jurucakap menyebut dalam satu kenyataan.

Ia berkata pekerja dilindungi undang-undang di kawasan termasuk bayaran gaji, pampasan bagi kecederaan sewaktu bekerja, dan memastikan mereka mempunyai tem-pat penginapan dengan standard yang baik.

Selepas kejayaannya di Locarno, filem itu akan menyertai festival lain, termasuk Hamburg dan Vancouver, dan akan mengadakan tayangan komersil di Singapura pada hujung tahun ini.

Mereka yang berjuang untuk keadaan hidup yang lebih baik bagi pekerja buruh asing memuji usaha untuk menarik perhatian yang lebih kepada kesusahan mereka.

“Apabila kami memberitahu rakyat Singapura tentang isu yang dihadapi pekerja migran, mereka kata ‘tidak, tidak, Singapura adalah sebuah negara di mana kita ada undang-undang yang sangat baik, dan perkara ini tidak mungkin berlaku’,” kata Ethan Guo, dari NGO Transient Workers Count Too, kepada AFP.

“Saya rasa kesedaran umum tentang nasib yang dialami pekerja migran ini adalah apa yang kami rasa lebih diperlukan di Singapura.” — AFP

Advertisement