Anda di sini

Pusat Sains dirancang

 Manyin (belakang, empat kanan), Chung (belakang, lima kanan) bersama yang lain merakam kenangan dengan wakil sekolah yang dinobatkan sebagai pemenang Junior Innovate dan pemenang anugerah Sarawak NextSparks anjuran Saradise.
PEMENANG: Manyin (belakang, empat kanan), Chung (belakang, lima kanan) bersama yang lain merakam kenangan dengan wakil sekolah yang dinobatkan sebagai pemenang Junior Innovate dan pemenang anugerah Sarawak NextSparks anjuran Saradise.

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi kini dalam usaha menubuhkan Pusat Sains di Sarawak  bagi meningkatkan lagi minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, meskipun ia masih belum dibentangkan kepada kabinet tetapi ia merupakan perancangan amat bermakna kepada generasi muda di Sarawak.

“Kementerian kami dalam usaha berkenaan walaupun ia belum dibentangkan kepada Kerajaan Sarawak tetapi kami merancang untuk mempunyai sebuah Pusat Sains.

“Ia seperti pusat di Singapura, Pulau Pinang dan dua di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja ada pusat ini ia pasti amat bermakna kepada ibu bapa, guru dan pelajar sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Junior Innovate & Sarawak NextSparks 2018 anjuran Saradise yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Saradise Datuk Chris Chung di Saradise Innovation Space di sini, semalam.

Manyin berkata, beliau yang sebelum ini telah mengadakan lawatan ke Pusat Sains di Singapura, telah bertemu dengan profesor yang bertanggungjawab terhadap pusat itu.

“Beliau (profesor) dijangka datang ke sini pada 19 Oktober.

“Saya berharap kita dapat menggunakan manfaat dengan menjadikan beliau sebagai perunding kepada perancangan kita,” katanya.

Mengenai pertandingan yang diadakan itu, Manyin berkata kementeriannya amat menyambut baik acara sedemikian yang sekali gus membantu mereka mempromosikan kepentingan STEM kepada ibu bapa, guru dan pelajar.

Katanya generasi masa akan datang tidak hanya bergantung kepada pengetahuan semata-mata tetapi lebih daripada itu, iaitu kreatif dan inovatif.

“Kita percaya pertandingan seperti ini dapat memupuk minat dan kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya STEM dan pentingnya kreativiti sertya inovasi,” katanya.

Sementara itu Chung dalam ucapannya berkata, pertandingan yang diadakan itu menyaksikan 16 pasukan finalis Junior Innovate seluruh Sarawak yang terpilih terdiri daripada lima dari zon utara, tiga dari zon tengah dan lapan dari zon selatan.

“Kita juga mempunyai 14 pasukan yang berpeluang bertanding merebut anugerah bagi Pertandingan Sarawak NextSparks.

“Pasukan tiga teratas bagi Junior Innovate Sarawak ini akan layak bagi pertandingan yang sama di peringkat kebangsaan yang diadakan di Pulau Pinang pada 10 dan 11 November depan,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima sambutan memberangsangkan dalam pertandingan itu dan ia menunjukkan minat serta kesedaran mengenai kepentingan ke arah ekonomi digital dari sekolah rendah seluruh negeri.

Tambah Chung, bagi Sarawak NextSparks adalah langkah pertama bagi mereka untuk lebih aktif dalam membudayakan inovasi dalam kalangan generasi muda Sarawak.