Anda di sini

Kerajaan pastikan kelestarian pengurusan sumber hutan

Advertisement
 Awang Tengah menyiram pokok yang ditanamnya di tapak ‘Takasago-UNIMAS Educational Forest’ sambil disaksi (dari kiri) Malcom dan Naroden serta tetamu kehormat lain.
HIJAU: Awang Tengah menyiram pokok yang ditanamnya di tapak ‘Takasago-UNIMAS Educational Forest’ sambil disaksi (dari kiri) Malcom dan Naroden serta tetamu kehormat lain.

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak komited memastikan kelestarian pengurusan sumber hutan bagi memenuhi keperluan pada masa ini dan generasi akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia penting supaya sumber hutan dapat dikekalkan sebagai kawasan perlindungan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi rakyat dan negeri.

“Untuk memastikan hutan diurus dengan lestari, Kerajaan Sarawak menetapkan dasar bagi konsesi hutan jangka panjang untuk mendapatkan pensijilan pengurusan hutan.

“Sijil pengurusan hutan ini penting untuk mempromosikan usaha kita dalam melestarikan pengurusan hutan ke peringkat dunia, negara dan komuniti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Penanaman Pokok: ‘Takasago-Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Educational Forest’ di DeTAR Putra Unimas di sini semalam.

Malah, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata, sebelum ini Kerajaan Sarawak melancarkan Penyelidikan untuk Pengurusan Intensif Kawasan Kaya Bio Sarawak (Rimba Sarawak) pada 2015 yang bertujuan menyediakan platform bagi kerjasama penyelidikan antarabangsa, pembangunan intensif dan amalan prosedur pengurusan pemuliharaan untuk kawasan kaya bio.

“Di bawah Rimba Sarawak, Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Forestry Corporation membentuk kerjasama dengan institut penyelidikan asing dalam menjalankan penyelidikan saintifik terhadap hutan di negeri ini,” jelasnya.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak  bersama kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan Brunei dan Indonesia terlibat dalam perjanjian Heart of Borneo (HoB).

“Perjanjian ini menyasarkan untuk memulihara biodiversiti, kawasan terlindung, pengurusan hutan yang mampan dan penggunaan tanah,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Industri itu sambil menambah, Kerajaan Sarawak menetapkan 2.7 juta hektar tanah di Sarawak sebagai kawasan HoB.

Pada masa sama Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak sentiasa memberi ruang kepada pertubuhan dan organisasi dalam dan luar negara untuk bekerjasama dalam kajian hutan mampan.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pernah menjalinkan kerjasama dengan organisasi dari Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Mengenai program itu, Awang Tengah menyambut baik kerjasama yang dijalinkan UNIMAS dan Takasago Thermal Engineering Co. Ltd dalam mewujudkan hutan pendidikan di universiti tersebut.

Katanya, inisiatif itu dapat memberi kesedaran tentang pentingnya pemuliharaan dan penjagaan ekosistem hutan di Sarawak, pada masa sama merapatkan hubungan antara Sarawak dan Jepun.

Terdahulu, Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, hutan pendidikan yang diberi nama ‘Takasago-UNIMAS Educational Forest’ itu dapat memperkasakan pentingnya hutan pendidikan.

“Kita menyasarkan untuk menanam 25,000 pokok pelbagai spesies di bawah program ini menjelang 2023 dan pada hari ini (semalam) kita menanam 600 pokok pelbagai spesies,” ujarnya.

Sementara itu, wakil Duta Jepun di Malaysia Hiroyuki Orikasa berkata, program tersebut dapat merapatkan hubungan Jepun dan Malaysia amnya dan Sarawak khasnya selain menyediakan tempat untuk menjalankan aktiviti penyelidikan hutan bersama.

Hadir sama Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pelaburan dan Industri Malcom Mussen Lamoh, Pegawai Eksekutif Urusan Takasago Thermal Engineering Co Ltd Jun Tabuchi, Presiden Persatuan Jepun-Malaysia Takakazu Ogawa, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohamad dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement