Anda di sini

Durian jenama Sarawak dibangun dan dipasarkan: Uggah

Advertisement
Uggah memeriksa kawasan salah satu rumah panjang yang dilawati di Betong yang terjejas akibat tanah runtuh.
Uggah memeriksa kawasan salah satu rumah panjang yang dilawati di Betong yang terjejas akibat tanah runtuh.

KUCHING: Perancangan sedang dibuat untuk membangun dan akhirnya memasarkan durian jenama Sarawak daripada sumber spesies durian tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS), dianggarkan 300,000 pokok durian spesies tempatan yang matang di Sarawak.

"R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) dijalankan untuk membangunkan pokok-pokok ini sebagai jenama Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata spesies durian tempatan amat terkenal dalam kalangan penggemar buah durian kerana rasanya lebih manis dan berkrim.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang Betong bakal mengeluarkan durian Musang King.

Jelasnya, perkara itu akan menjadi kenyataan sebaik program kerajaan negeri menanam buah-buahan di kawasan Parlimen Betong meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, Saribas dan Layar, berjaya.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukan RM2.5 juta bagi tujuan itu dan mensasar menanam 50,000 pokok.

Katanya, program berkenaan bertujuan untuk menjana pendapatan sampingan kepada petani tempatan yang juga menanam kelapa sawit, lada dan getah.

"Sebagai permulaan, kira-kira 1,000 anak benih diagihkan kepada petani di kawasan Paku dan Beduru. Kita akan terus mengagihkannya sebaik mendapat lebih banyak bahan penanaman, setiap keluarga akan mendapat lima anak benih," jelasnya.

Tambahnya, dianggarkan jika dijaga dengan baik, pokok yang matang boleh mengeluarkan kira-kira 200 buah pada satu musim.

Menjelas lanjut, pemilihan spesis Musang King dalam program itu kerana permintaan yang tinggi daripada pasaran China.

"Kita juga mempunyai banyak spesis pokok durian asal yang mempunyai potensi sama. Kita masih melakukan penyelidikan dan pembangunan," katanya.

Menurutnya lagi, JPS akan menganjurkan kursus memulihkan pokok-pokok durian yang sudah tua di Stesen Pertanian Layar Disember ini.

Kursus berkenaan katanya, akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari JPS dan Top Fruits Sdn Bhd, syarikat utama yang membeli durian semasa musimnya.

Beliau mendedahkan, ketika ini penduduk setempat tidak menjaga serta menyelenggara pokok-pokok durian mereka.

"Kita berharap dengan pengetahuan diperoleh daripada kursus ini, penduduk atau petani di sini dapat meningkatkan pengeluaran sekali gus pendapatan mereka," katanya.

Uggah juga yakin dengan adanya syarikat utama membeli hasil durian yang banyak di Layar nanti, masalah harga sangat murah dapat diatasi.

Selain itu katanya, kementerian merancang melantik lebih banyak syarikat untuk membeli buah durian daripada seluruh Sarawak.

Menurutnya, satu syarikat utama dapat menjual 16 tan isi durian ke China.

Sementara itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban semalam mengunjungi ke lapan rumah panjang di kawasan Bangkit Rembai di Betong.

Beliau diiringi Ahli Parlimen Betong Robert Lawson Chuat, Residen Betong Friday Belik dan wakil daripada pelbagai jabatan serta agensi.
 

  • oleh
  • Advertisement