Anda di sini

Sindiket dadah terbesar tumpas

Advertisement
NASRI bersama pegawai menunjukkan sebahagian paket bungkusan berisi syabu yang dirampas.
NASRI bersama pegawai menunjukkan sebahagian paket bungkusan berisi syabu yang dirampas.

LAHAD DATU: Satu sindiket dadah terbesar di negeri Sabah berjaya ditumpaskan polis menerusi penahanan seorang lelaki tempatan dan merampas sejumlah 51,917 gram syabu bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di kawasan parkir di hadapan sebuah premis di Bandar Sri Perdana, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata kejayaan itu akan menjadi pemangkin pada usaha pasukannya membanteras musuh nombor satu negara itu dari terus merosakkan generasi bangsa dan negara.

Kejayaan itu juga hasil kerjasama maklumat awam dan risikan anggota yang disifatkannya perlu diteruskan agar kadar jenayah dapat dibanteras tuntas.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari suspek ditahan ketika keluar dari kenderaan pacuan empat rodanya dengan membawa sebuah beg plastik bercorak berwarna merah jambu dari tempat duduk belakang.

Katanya, ketika dihampiri suspek cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan, dalam beg itu dijumpai 25 bungkusan plastik warna kuning keemasan bercetak tulisan 'Daguanyin'  yang di dalamnya berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah Methamphetamine," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Nasri berkata, polis turut menjumpai dalam kenderaan itu sebuah lagi beg bercorak bunga warna hitam putih di bahagian tempat duduk belakang sebelah kiri dan setelah diperiksa, kandungannya sama seperti beg pertama.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti dadah tersebut untuk pasaran tempatan atau antarabangsa selain motif untuk membongkar rangkaian pengedaran dadah yang melibatkan sindiket itu.

  • oleh
  • Advertisement