Anda di sini

Sambutan Hari Jadi Rasmi TYT Ke-65 meriah

Advertisement
SUASANA sekitar pemeriksaan kontinjen perbarisan oleh Tun Juhar.
SUASANA sekitar pemeriksaan kontinjen perbarisan oleh Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Seramai 2,442 peserta daripada 74 kontinjen mengambil bahagian dalam acara perbarisan sempena Hari Jadi Rasmi Ke-65 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Acara perbarisan bermula seawal jam 6.50 pagi itu membabitkan penyertaan daripada pasukan keselamatan termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar.

Acara bermula dengan Yang Dipertua Negeri menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama, disusuli Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebelum tembakan meriam 17 das.

Juhar kemudian memeriksa perbarisan pasukan kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara itu. Turut diadakan ialah persembahan khas daripada penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

SUASANA pentas VIP sekitar berlangsung istiadat perbarisan.
SUASANA pentas VIP sekitar berlangsung istiadat perbarisan.

Hadir sama ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong, Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta barisan pemimpin Kabinet negeri yang lain.

Selepas acara perbarisan itu, berlangsung majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kawad Istiadat Perbarisan, kemudian Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran di Istana Negeri dan sebelah malamnya Majlis Jamuan Negeri di Dewan Bankuasi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Dalam majlis pada pagi itu, kira-kira lima ribu hadir dalam acara perbarisan termasuk orang awam yang menunggu acara bermula sejak jam 6 pagi lagi.

Sempena dengan Hari Jadi Rasmi TYT, pelbagai acara diadakan sepanjang bulan Oktober dan November. Antaranya adalah acara Berbasikal Bersama TYT pada 7 Oktober di Taman Awam Teluk Likas.

Sementara itu, pada 11 Oktober majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak-Anak Yatim akan diadakan di Promenade Hotel Tawau, diikuti acara Kejohanan Golf Amal Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah 2018 di Dalit Bay Golf & Country Club Tuaran pada 27 Oktober dan Majlis Perasmian Pameran Khas 'Dirgahayu Tuan Yang Terutama' di Kompleks Muzium Sabah pada 30 Oktober.

Manakala, pada 5 November majlis Malam Sanjungan Kasih diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah serta Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah ke-33, 2018 pada 16 Novermber bertempat di Grand Ballroom, Kota Kinabalu Marriott Hotel.

Dalam acara pertandingan perbarisan, sebanyak lima kategori dipertandingkan termasuklah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), Badan-badan Swasta dan Komersil, NGO, Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam dan Berpakaian Seragam.

Untuk kategori IPTA/IPTS, pasukan Komandar Kesatria UiTM Cawangan Sabah berjaya merangkul kejohanan dengan mengalahkan lima pasukan lain.

Bagi Kategori Swasta dan Komersil, Kumpulan Yayasan Sabah berjaya menjadi johan mengalahkan 10 pasukan lain.

PERSEMBAHAN kawad formasi dari Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
PERSEMBAHAN kawad formasi dari Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Sementara itu, kategori NGO St John Ambulans Malaysia berjaya menjadi johan. Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam dimenangi oleh Jabatan Landskap DBKK manakala kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam dijuarai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Johan untuk setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM1,300 bersama piala, sementara naib johan RM1,100 dan piala, ketiga  RM900 serta piala.

  • oleh
  • Advertisement