Anda di sini

Pupuk semangat kekitaan dalam diri rakyat

Advertisement
TUN Juhar ketika menyampaikan perutusan Hari Jadi Rasmi Ke-65.
TUN Juhar ketika menyampaikan perutusan Hari Jadi Rasmi Ke-65.

KOTA KINABALU: Selain perpaduan dan keharmonian kaum, semangat kekitaan perlu dipupuk dalam kalangan rakyat.

Malah, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dalam perutusan Sempena Hari Jadi Rasmi Ke-65 menyifatkan semangat tersebut adalah pra-syarat kepada kesepaduan sosial dan kekuatan masyarakat selama ini.

Justeru katanya, semangat kekitaan yang kental perlu dipupuk dan disemai dalam diri generasi pewaris kepimpinan negeri dan negara pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, Tun Juhar mahu seluruh rakyat Malaysia di negeri ini, tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan ideologi politik agar sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha memelihara dan mempertahankan keamanan dan keselamatan, di samping memerangi keganasan dan membanteras ekstremisma dalam bentuk apa sekali pun.

"Kita berbangga dengan Sabah yang kaya dengan pelbagai budaya yang unik serta penduduknya yang hidup harmoni dan bersatu padu.

"Jadi, kita harus sedar yang Sabah juga sering menjadi tumpuan dan tarikan kepada negara luar yang mengikuti perkembangan semasa negeri ini serta kagum dengan kebolehan kita menjaga keharmonian kaum.

"Oleh itu, anasir-anasir jahat yang cuba menyusup masuk serta mempengaruhi golongan tertentu di negeri ini, harus dipantau dan ditangani dengan tegas kerana ia hanya membawa keburukan kepada masyarakat serta menjejaskan keharmonian dan keamanan," jelasnya.

Dalam aspek keselamatan, Tun Juhar menggesa seluruh lapisan masyarakat, termasuk para pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi dan komuniti, agar sentiasa berwaspada dan bersikap pro-aktif menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan yang meragukan.

"Masyarakat boleh berfungsi sebagai mata dan telinga kepada kerajaan dalam menangani dan mengatasi insiden-insiden jenayah yang boleh mengganggu gugat aktiviti harian mereka.

SHAFIE (kanan) bersalaman dengan Syed Abas sejurus tiba dalam Dewan Istiadat Istana Negeri.
SHAFIE (kanan) bersalaman dengan Syed Abas sejurus tiba dalam Dewan Istiadat Istana Negeri.

"Keselamatan dan keamanan adalah anugerah yang tinggi nilainya dan tidak boleh ditukar ganti atau dijual beli dengan apa cara sekalipun.

"Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memelihara keamanan dan kemakmuran yang dicapai agar tidak hilang ditelan zaman," kata beliau.

Advertisement