Anda di sini

Maut dirempuh, diseret

 Mangsa maut di lokasi kejadian selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda.
TRAGIK: Mangsa maut di lokasi kejadian selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda.
Penduduk kampung mengangkat naik motosikal mangsa dari dalam parit.
NGERI:Penduduk kampung mengangkat naik motosikal mangsa dari dalam parit.

BETONG: Seorang pesara polis sempat merangkak keluar dari parit sebelum rebah dan menghembus nafas terakhir setelah terlibat dalam kemalangan maut di Kampung Balingan, Jalan Tanjung Assam dekat sini semalam.

Mangsa, Nor Nusi, 60, yang menunggang motosikal, dikatakan tidak sempat memberhentikan kenderaannya di simpang keluar dari rumahnya sebelum sebuah pacuan empat roda merempuh dan mengheretnya ke seberang jalan lalu masuk terjunam ke dalam parit.

Menurut sumber polis, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala, maut di tempat kejadian.

"Kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang melibatkan sebuah pacuan empat roda (4WD) dalam perjalanan dari Tanjung Assam merempuh motosikal yang keluar dari simpang memasuki jalan utama.

"Semasa melintasi lokasi kejadian, pemandu 4WD tidak sempat mengelak dan gagal membrek kerana jarak dengan motosikal sudah terlalu dekat.

“Akibatnya kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit sebelah kanan jalan dan turut mengheret mangsa bersama sebelum terjunam ke dalam parit.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian selepas sempat merangkak keluar dari parit yang dipenuhi air,” katanya.

Keadaan cuaca agak lembab semasa kejadian disusuli hujan renyai-renyai dan permukaan jalan raya basah serta licin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.