Anda di sini

Hubungan baik dengan kerajaan pusat penting untuk kemajuan Sabah

Advertisement
 Aru Lipang berasa terharu apabila Jamawi (tengah) sempat berziarah ke rumahnya.
DEKATI RAKYAT: Aru Lipang berasa terharu apabila Jamawi (tengah) sempat berziarah ke rumahnya.

KEMABONG: Hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat amat penting bagi memastikan proses pembangunan di Sabah berjalan dengan baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar berkata, hubungan baik seperti itu juga memudahkan perbincangan dan perancangan mengenai keperluan rakyat di negeri ini serta penyaluran peruntukan daripada kerajaan pusat memandangkan sumber kewangan kerajaan negeri agak terhad.

Sebagai contoh katanya, permohonan peruntukan yang menelan kos agak tinggi tidak mampu ditampung sepenuhnya oleh kerajaan negeri yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan ia mudah diuruskan untuk memohon peruntukan dengan adanya hubungan baik antara kedua-dua pihak.

“Negeri Sabah agak luas, masih banyak keperluan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar seperti bekalan air dan elektrik serta jalan raya yang baik dan lain-lain pembangunan yang memerlukan kos tinggi.

“Apabila kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan pusat, proses untuk mendapatkan peruntukan bertambah mudah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Kampung Nulusuon di sini.

Menurut Jamawi, kerajaan WARISAN di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal sentiasa mengambil berat soal pembangunan di kawasan luar bandar dengan mengamalkan budaya turun padang menjangkau rakyat di peringkat akar umbi agar apa juga masalah serta keperluan rakyat dapat didengar dan dilihat secara langsung.

“Malangnya, program seperti ini mendapat pelbagai tohmahan dan fitnah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat agar tidak termakan fitnah dan provokasi yang dimainkan oleh pihak tertentu yang bertujuan mencelarkan imej kerajaan.

“Masa berpolitik sudah habis, kita tumpu kepada usaha membangunkan rakyat. Kerajaan ini adalah yang diberikan amanah oleh rakyat untuk mentadbir negeri. Justeru, apa juga usaha kerajaan untuk membawa perubahan kepada negeri perlu kita sokong,” katanya.

Advertisement