Anda di sini

Hasrat arwah Mazlan tidak kesampaian

Advertisement
 Razaiah (dua kiri) bersama adik-beradik dan anak saudara arwah Mazlan ditemui pemberita di kediaman makciknya di Kampung Batu Tinagat Tawau. Turut kelihatan, ibu arwah, Asmah Abdalis yang memegang foto kenangan mereka sekeluarga.
KEHILANGAN: Razaiah (dua kiri) bersama adik-beradik dan anak saudara arwah Mazlan ditemui pemberita di kediaman makciknya di Kampung Batu Tinagat Tawau. Turut kelihatan, ibu arwah, Asmah Abdalis yang memegang foto kenangan mereka sekeluarga.

TAWAU: Arwah Mazlan Omarbaki sudah berhasrat untuk membeli rumah di Bandar Sri Indah (BSI) Batu 10 Jalan Apas dan meminta ibunya mencarikannya jodoh orang Sabah.

Malah, arwah juga pernah berpesan supaya adik beradiknya yang lain sentiasa tabah dan meneruskan kehidupan jika dia yang meninggal dunia terlebih dahulu semasa bertugas.

Perkara itu didedahkan Razaiah, 33, kakak sulung kepada Mazlan yang terkorban semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

Razaiah, 33, berkata adik lelakinya itu menggalas tugas sebagai ketua keluarga semenjak pemergian ayah mereka pada 2012 dan menyimpan impian bertugas di Sabah.

“Arwah mempunyai rancangan untuk membeli rumah di BSI dan kini masih dalam proses pengambilan dan kebetulan proses guaman juga baharu sahaja selesai kelmarin (Rabu).

“Saya ada mengirimkan pesanan teks WhatsApp kepada arwah mengenai perkara ini pada kira-kira jam 12 tengah hari, dan dia balas kemudian pada jam 4 petang dengan ‘OK’.

“Sebab itu, kami terkejut saat menerima perkhabaran ini (berita Mazlan meninggal dunia semasa bertugas menyelamatkan mangsa di lombong),” katanya, semasa ditemui di sini.

Razaiah berkata adik lelakinya itu juga menyimpan hasrat untuk berkahwin dan meminta ibu mereka memilih jodohnya dengan orang Sabah untuk mendirikan rumah tangga.

“Arwah juga sebenarnya teringin untuk bertugas di Sabah, sehinggakan setiap tahun membuat permohonan penukaran supaya dapat berkhidmat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata arwah semasa hayatnya begitu teringin untuk membawa ibu dan adik-beradiknya tinggal bersama-sama di rumah baharu mereka (BSI).

Menurutnya, Mazlan juga selalu bertindak sebagai ketua keluarga selepas ketiadaan bapa mereka dan sering kali memberikan teguran serta nasihat kepada adik-beradiknya.

“Kali terakhir dia balik ke Tawau pada bulan Ogos, tetapi tidak ada tanda-tanda yang pelik ditunjukkannya, selain selalu meluangkan masanya melihat pantai dan laut.

“Setiap kali pulang, arwah suka makan nasi kuning ikan dan ayam rendang yang ibu sediakan dan dia beritahu berasa tenang jika melihat pantai dan laut,” katanya.

Menyentuh pemergian adik lelakinya, Razaiah berkata mereka sekeluarga menerima dengan terbuka dan menganggap arwah sudah membanggakan ahli keluarganya.

“Saya selalu mengingatkan dia supaya mengutamakan keselamatan diri semasa bertugas, dan saya masih tertanya-tanya perkara sebenar yang berlaku ketika hal itu berlaku.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih dengan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan roh arwah dan orang ramai yang banyak menolong keluarga kami.

“Khasnya, Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Tawau serta seluruh warga bomba di negara ini kerana membantu urusan penghantaran jenazah ke Sabah,” katanya.

Advertisement